Tuesday, September 25, 2007

 

BERSATULAH BANGSAKU

Pada awal tahun ini aku telah menghantar SMS kepada semua anak muda yang aku kenali yang nombor telefon bimbit mereka ada dalam memori telefonku, termasuk anak-anakku sendiri. Aku mengingatkan tugas mereka untuk mendaftar sebagai pengundi. Aku tidak pasti berapa orang yang menyambut peringatanku itu. Namun berdasarkan cakap-cakap anak-anakku sendiri, aku seolah-olah merasakan bahawa tidak ramai yang menyambut positif sarananku itu. Mungkin tidak ada langsung yang mendaftar, siapa tahu!

Apa kata anak-anakku? Kalau mengundi, adakah hendak mengundi berdasarkan parti atau orang? Kalau mengundi untuk parti, Parti Pemerintah atau Parti Pembangkang? Antara calon Cina dan India dengan calon Melayu, yang mana hendak diberi undi? Undi adalah kuasa, tetapi kuasa hendak diberikan kepada siapa, ujar mereka lagi.

Dua hari yang lepas, aku membaca kenyataan Pengerusi Suruhanraya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengatakan orang Melayu merupakan golongan tertinggi tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai program diatur untuk memudah mereka berbuat demikian. Senyum Kambing dalam Utusan Malaysia mengulas kegagalan ini disebabkan orang Melayu selesa dengan status pribumi. Soalnya: Benarkah?

Yang saya khuatirkan bukanlah kerana orang Melayu sudah selesa dengan status pribudi dengan pelbagai keistimewaan. Sebab sebenaarnya ialah orang Melayu sudah bosan dengan perangai pemimpin-pemimpin politik mereka, yang sudah menyimpang dari semangat perjuangan, yang lupa tanggungjawab bangsanya, dan yang semata-mata mementingkan diri sendiri. Baik yang berada dalam Parti Pemerintah atau Parti Pembangkang, kebanyakan pemimpin Melayu sudah tidak lagi mengamalkan apa yang Allah peringatkan: Tidak berubah sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubahnya.

Apa yang mereka gemar ialah bercakaran, bermusuhan dan saling berusaha hina menghina antara satu sama lain. Perjuangan untuk bangsa tidak lagi menjadi agenda utama, walaupun bagi sebuah parti yang bernama Parti Kebangsaan Melayu Bersatu. Malah parti inilah yang nampaknya tidak gemar menggunakan, apatah lagi mempertahankan Melayu itu sendiri. Kalau tidak, masakan Bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia? Kalau tidak masakan Matematik dan Sains yang sudah terbukti berjaya diajar dalam Bahasa Melayu, tiba-tiba sahaja ditukar supaya diajar dalam Bahasa Inggeris?

Jadi, apakah peranan para pemimpin Melayu yang mempunyai status, kedudukan dan kuasa untuk bangsa Melayu?

Aduhai bangsaku, bersatulah kamu ...
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]