Wednesday, September 19, 2007

 

KELIRU (2)

Beberapa hari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Ksu Khoon mencadangkan supaya tarikh 16 September disambut sebagai Hari Malaysia. Kata, tarikh tersebut adalah tarikh Malaysia ditubuhkan, menggabungkan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak menjadi satu kesatuan. Katanya lagi, sekarang ramai orang sudah lupa tarikh tersebut sedangkan tarikh itu amat penting melambangkan penyatuan dan perpaduan.

Sepintas lalu, cadangan beliau memang sahaja menarik, tetapi juga amat logik. Kenapa setelah 50 tahun Merdeka dan setelah 34 tahun Malaysia tertubuh, baharu sekarang terkenang untuk mempersoalkannya? Persoalan lain ialah kenapa cadangan ini datangnya bukan dari para pemimpin Sabah dan Sarawak yang terlibat secara langsung dengan penubuhan itu. Kenapa cadangan ini bermula di Pulau Pinang, sebuah negeri yang politiknya, sosialnya dan ekonominya dikuasai oleh kaum Cina, sebuah negeri yang turut Merdeka bersama negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, negeri yang kini Perdana Menteri Malaysia dilahir dan dibesarkan? Kenapa?

Tetapi kalau kita kenal Parti Gerakan dan siapakah pemimpin-pemimpinnya, kita tidak perlu hairan dengan cadangan itu; sebaliknya kita perlu berwaspada dengan apa yang tersirat dalam benak orang-orang penting parti tersebut. Ingatkah, tidak berapa lama dahulu, Parti Gerakan jugalah yang menentang habis-habisan cadangan Maybank untuk melantik Panel Peguam di kalangan peguam-peguam Bumiputra sehingga cadangan itu akhirnya ditarik balik. Parti ini jugalah yang mempersoalkan penggunaan Bahasa Melayu, sehingga menyebabkan (tanpa angin, tanpa ribut) Kabinet memutuskan penggunaan Bahasa Malaysia. Parti ini juga yang mempersoalkan kandungan buku teks pengajian di IPTA yang membicarakan tentang 13 Mei 1969, sehingga menyebabkan Kabinet membincangkan khusus perkara ini sehingga akhirnya Menteri Pengajian Tinggi menarik penggunaan buku tersebut. Dan banyak lagi ...

Berbalik persoalan Hari Malaysia. Kenapa mesti dirayakan? Apa pentingnya? Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, dan tarikh itulah wujud sebuah negara yang bebas merdeka. Tarikh 16 September 1963 sekadar tarikh tiga buah negeri di bawah jajahan Inggeris (termasuk Singapura yang kemudian menarik diri keluar dari Malaysia) dimasukkan menjadi sebhagian daripada sebuah negara yang sudah merdeka. Tidak lebih dari itu. Kerana itu, tarikh 16 September tidak sepenting tarikh 31 Ogos.

Kalau cadangan ini diterima, ertinya kita cuba melupakan 31 Ogos, tarikh keramat di mana orang Melayu menjuarai perjuangan kemerdekaan. Ertinya juga, perjuangan orang Melayu ingin dinafikan dan akhirnya dilupakan.

Nasib baik, Dato' Seri Najib Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri membuat kenyataan menolaknya. Tetapi sejauh mana kesedaran itu wujud secara menyeluruh di kalangan rakyat.

Aku, tanpa apa-apa kuasa memandang, memahami dan mentafsir adakah apa yang tersurat itu ada makna yang tersirat? Pilihanaraya sudah mengetuk pintu ... Kita orang Melayu di mana?
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]