Thursday, September 20, 2007

 

KELIRU (3)

Sudah sah seorang pelajar Malaysia kaum Cina berusia 24 tahun yang sedang belajar di Taiwan menghina bangsa Melayu dan Negara Malaysia apabila dia mempersenda lagu Negaraku melalui laman webnya. Kemarahan orang Melayu meluap-luap. Tiba-tiba Timbalan Presiden MCA, Chua Sow Lik membuat kenyataan maaf bagi phak pelajar tersebut. Katanya, pelajar itu belum matang. Benarkah pelajar itu yang meminta maaf? Dan benarkah pelajar yang menamakan dirinya Namewee itu belum matang? Atau sekadar pandai-pandai Chua sow Lik sendiri uniuk membela bangsanya? Katanya, kerajaan akan ambil tindakan. Hingga sekarang tidak ada kenyataan minta maaf secara rasmi oleh pelajar itu, tetapi anihnya isu tersebut senyap begitu sahaja.

Begitu juga kisah penternak babi di Paya Mengkuang, Melaka, yang terang-terang mengingkari perintah kerajaan dan menghalang agensi kerajaan menjalankan tugasnya, tiba-tiba senyap sepi begitu sahaja.

Berlainan pula dengan kisah pada 8 September 2007 yang bermula dengan keenggan pihak polis memberi kebenaran mengadakan ceramah kepada gabungan beberapa buah NGO berakhir dengan rusuhan, termasuk tindakan membakar Jalur Gemilang. Siapakah yang membakar Jalur Gemilang? Benarkah orang yang berkumpul itu punya angkara, atau itu perbuatan dalang? Polis dilihat bertindak ganas, dan pihak media mengutuk habis-habisan peristiwa ini. Ada yang cedera, dan ada yang dicari polis. Lebih malang, peristiwa tersebut dikaitkan dengan parti pembangkang. Hingga sekarang media penyiaran masih ghairah menyiarkan klip video pembakaran Jalur Gemilang, sementara polis masih memburu beberapa orang yang dikatakan menjadi dalang rusuhan itu.

Apakah sebenarnya yang berlaku? kebanyakan yang terlibat ialah orang Melayu. Siapa pemimpin Melayu yang menyokong Melayu? Tak ada kecuali mengutuk bangsanya sendiri. Kalau ada pun tidak pernah mendapat tempat di dalam media perdana. Padahal yang salah dan yang betul belum lagi dipastikan. Yang pasti, pelajar Tingkatan Empat datang menyerah diri kepada polis kerana gambarnya disiarkan. Dan media hebahkan besar-besaran. Oh, sungguh malang bangsaku.

Aku tambah keliru memikirkan semua ini. Dalam hati sebak pilu mengenangkan nasih bangsa, aku teringat ucapan Profesor Datuk Dr. Zainal Kling dalam Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Johor (PPJ) tidak berapa dahulu. Apa kata beliau?

Katanya, “Hari ini kita sambut 50 tahun merdeka. Mungkin kita tidak akan merdeka lagi selepas ini, kerana orang Melayu akan kembali tertinggal. UMNO akan mati sepuluh tahun lagi. Semua itu berlaku bermula dengan anak-anak Melayu yang kini berusia 12 tahun diajar dengan bahasa Inggeris. Apabila usia mereka memcecah 22 tahun, mereka akan hilang Melayunya. Mengapa begitu? Kerana bahasa Inggeris sudah sebati dalam diri mereka, maka semangat dan kesedaran Melayu akan hilang. Lalu mereka tidak kenal UMNO, tidak lagi menjadi ahli UMNO. Maka ketika itu, Melayu boleh hilang kuasa, dan UMNO juga akan mati.”

Bunyinya negatif, tetapi sebenarnya kenyataan ini adalah peringatan. Orang UMNO jangan marah, sebab kita sayangkan UMNO. Tetapi orang UMNO sendiri kena sedar diri apakah ertinya p erjuangan sebuah parti yang bernama UMNO.

Aku amat kenal dengan Profesor Datuk Dr. Zainal Kling. Beliau pengamat masyarakat yang amat teliti dan amat sayangkan bangsanya. Jadi, janganlah dipandang remeh kenyataan ini, terutama ketika kaum Cina dan India kini begitu lantang bersuara. Apa yang dibuat oleh para pemimpin Melayu ketika ini? Pemimpin-pemimpin Melayu dalam UMNO terus membisu dalam suasana selesa tetapi lesu tetapi sibuk berebut kuasa. Pemimpin-pemimpin Melayu di luar UMNO pula asyik perjuangkan Islam global, dan bangsa bukan wadah perjuangan. Islam tetap Islam, tetapi soal bangsa tidak boleh diketepikan.

Bangunlah wahai bangsaku … Janji Allah, "Tidak berubah sesuatu KAUM kecuali KAUM itu sendiri mengubahnya." Apakah kaum Melayu melakukan ke atas kaumnya kecuali bertelangah dan bergaduh sesama sendiri? Bangunlah ... apabila timbul soal bangsa, tidak ada jalan lain kecuali kita bersatu, mempertahankan dan memperjuangkannya. Bukankah itu peringatan Allah. Dan itulah yang Dato' Onn Jaafar lakukan ketika Melayu sesama Melayu berpecah - menyatukan seluruh Melayu, berjaya mewujudkan UMNO, berjaya menumpaskan musuh, dan berjaya mencapai kemerdekaan. Belajarlah dari sejarah ...

Pandang 50 tahun ke hadapan, Malaysia maju milik siapa? Anak Melayu hilang bahasanya sendiri serta hilang pengetahuan dan kemahirannya kerana mereka tidak faham Sains dan Matematik yang dianjar dalam bahasa Inggeris.

Jangan terus meludah ke langit wahai pemimpinku ...
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]