Thursday, September 27, 2007

 

PUASA RAMADAN DAN AIDIL FITRI

Tanpa kusedari rupa-rupanya sudah dua minggu aku berpuasa Ramadan. Dalam berulang alik dari Seremban ke Johor Bahru dan dalam kesibukan bekerja, aku menyedari aku tidak berpeluang untuk berfikir secara serius tentang puasa dan hari raya, seperti yang aku alami pada zaman kanak-kanak dahulu. Pada ketika itu, puasa dan hari raya merupakan sesuatu yang sungguh luar biasa dan sentiasa dinanti-nantikan kehadirannya. Walaupun pada masa ini, puasa dan hari raya masih tetap ditunggu-tungu kedatangannya, namun caranaya berbeza. Menunggu bagi orang dewasa dengan penuh ketaqwaan, menunggu bagi kanak-kanak dengan penuh kegembiraan.

Aku mengimbau pengalaman kanak-kanakku ketika berpuasa dan berhari raya di kampung di Muar. Pada ketika itu, sekolah bercuti sebulan penuh sepanjang bulan Ramadan, diikuti seminggu pada bulan Syawal. Apa yang aku buat pada siang hari sepanjang bulan itu ialah melepak di rumah menunggu masa berbuka sahaja. Ibu dan kakak sibuk di dapur menyiapkan juadah untuk berbuka. Apabila siap juadah, akulah orangnya yang ditugaskan untuk menghantar sepinggan juadah itu ke rumah jiran. Dan apabila pulang ke rumah, juadah itu sudah bertukar dengan juadah jiran pula. Ah, betapa indahnya suasana itu.

Selepas berbuka bersama keluarga dan sembahyang Maghrib berjemaah, aku pergi ke surau untuk sembahyang terawih pula. Sekali lagi aku diminta membawa sepiring juadah ke surau.

Kanak-kanak seronok di surau, bukan sangat bersembahyang, tetapi bergurau senda sesama kawan. Selesai sembahyang terawih, tadarus Al-Quran oleh warga tua dan dewasa. Selepas tadarus,k seorang dua remaja akan "bermain" kentong yang dipanggil "kotekan", menghasilkan bunyi yang indah dan pelbagai. Kanak-kanak pula akan bermain galah panjang di padang sekolah tidak jauh dari surau. Riuh rendah dibuatnya sehingga kira-kira jam sebelas malam, baru masing-masing pulang ke rumah.

Meriam buluh menjadi kebanaggaan. Meriam buatan sendiri itu digunakan untuk menggerakkan orang bangun bersahur. Maka menjelang awal pagi itu kedengaranlah saling sambut menyambut bunyi meriam. Mereka yang remaja dan lebih berumur akan membuat meriam yang lebih besar, terutama daripada batang pinang atau meriam tanah. Ada yang membuat meriam dari batang kelapa. Bunyinya lebih kuat dan menggegarkan. Namun segala keselamatan dalam pembuatan dan penggunaan meriam sentiasa diambil perhatian.

Satu lagi keistimewaan pada bulan Ramadan dan Syawal ialah membina pintu gerbang di hadapan surau atau masjid. Pelbagai gubahan dibuat, kebanyakan dibuat daripada buluh dan dipasang pelita minyak tanah pada waktu malam. Deretan pelita yang digubah susunannya pada pintu gerbang itu akan meimbulkan reka bentuk yang menarik apabila dipasang pada waktu malam, misalnya bentuk bulan dan bintang. Kebanggaan sesebuah kampung ialah kejayaan kampung itu mereka cipta pintu gerbang (disebut ceketeng dalam bahasa Jawa) yang indah dan menarik.

Kedatangan Syawal memang amat ditunggu-tunggu. Yang mencemaskan ialah sewaktu menunggu pengumuman hari raya. Oleh kerana sukar dan terhadnya media perhubungan dan komunikasi, kadang-kadang hingga awal pagi hari raya baharu diketahui bahawa pada hari itu adalah hari raya. Apabila seseorang atau sesiapa yang berwibawa mendapat maklumat tentang hari raya, dia akan memukul kentong. Cara pukulannya tersendiri supaya menimbulkan bunyi yang tersendiri pula. Apabila bunyi itu kedengaran maka tahulah orang bahawa pbunyi kentong itu bermaksud bahawa hari raya sudah sampai. Maka mulalah bersambut menyambut bunyi kentong itu ....

Kumpulan marhaban ditubuhkan. Ada kumpulan lelaki dewasa, ada kumulan kanak-kanak, dan ada kumpulan perempuan. Mulai hari raya kedua, kumpulan itu bergerak berhari raya dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain seluruh kampung, seawal pukul lapan pagi hingga sebelas malam. Tak ingat pun nak berhenti makan tengah hari, sebab perut sudah penuh berisi dengan kuih muih hari raya. Pada hari raya pertama biasanya diperuntukkan untuk berhari raya sesama keluarga, terutama mengunjungi ibu dan ayah atau saudara mara yang berumur. Memang meriah.

Keistimewaan rumahku pada hari raya ialah hidangn kuih mueh hari raya. Kehebatan ibuku ialah pembuatan halwa. Pelbagai jenis halwa disediakan - nanas, betik, cermai, belimbing, rambai, lada dan lain-lain - digubah begitu rupa menjadi halwa yang manis dan sedap. Berbulan-bulan sebelum hari raya sudah disediakan halwa itu, termasuk halwa khas yang menjadi kepala meja. Semua kuih muih hari raya akan dihidangkan di atas meja rendah ala meja Jepun, dan pengunjung akan menikmati secara duduk bersila sekeliling meja. Selain halwa, kuih muih tradisi seperti baulu, bangkit, tumpi, rempeyek dan lain-lain turut dihidangkan.

Satu kemestian bagi setiap orang lelaki menjelang hari raya ialah bergunting rambut. Pendek kata, tak dikatakan berhari raya kalau tak bergunting rambut. Pernah satu ketika bapaku memarahi aku bertali-tali semata-mata aku tidak sempat bergunting rambut sebelum hari raya.

Tidak ada duit raya pada masa itu. Yang ada, bermaaf maafan, terutama antara anak dengan kedua ibu bapa. Semasa bermaaf maafan itu, doa ibu bapa dan orang tua-tua kepada anak-anak dan orang muda-muda begitu panjang, syahdu dan bererti. Aku tidak ingat lagi kata-kata doa itu, kerana diucapkan dalam bahasa Jawa.

Demikianlah secebis kenangan. Selamat berpuasa Ramadan dan selamat berhari raya aidil-fitri. (Sudah bayar zakat fitrah tahun ini?)
Comments:
tengtang halwa - itu kuih special mak aku. teringat halwa betik muda sampai kini...
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]