Friday, October 26, 2007

 

DIAM

Hari ini seorang Pembantu Tadbir di pejabatku naik angin sebab seorang Pekerja Am Rendah (PAR) tidak hadir kerja tanpa sebarang maklumat. Cuti pun tidak. Sedangkan dia sudah berjanji untuk datang bekerja pada hari ini kerana memang ada tugas urgent yang perlu diselesaikan. Aku pun turut panas hati dibuatnya.

Dalam dia marah-marah, aku ajak dia minum. Dalam gelak-gelak sambil minum-minum itu, aku tengok panas hatinya sudah menurun. Aku pun berkata kepadanya, "Ala, kau sajalah buat kerja tu. Bukan banyak sangat. Nanti aku tolong!"

Dia mengangguk setuju. "Tentang PAR yang seorang ni, serahkan kepada aku bila dia sampai nanti," sambung aku lagi.

Kali ini dia senyum. Dan pada sebelah tengah hari, aku dapati kerja itu sudah beres walaupun tanpa pertolonganku. Aku gembira dan dia pun nampaknya selesa.

Bekerja dalam organisasi memang banyak cabarannya. Semakin besar sesebuah organisasi itu, semakin besar cabarannya. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana kita berhadapan dengan manusia. Lebih-lebih lagi apabila jenis kerja kita memang untuk mengurus manusia, bukan mengurus alat, jentera dan sebagainya.

Dalam organisasi, secara umum ada tiga peringkat manusia yang kita kena urus. Pertama, orang-orang yang di atas kita. Senang cerita, ketua-ketua kita. Kedua, orang yang setaraf dengan kita, dan ketiga, orang yang kedudukan perjawatannya lebih rendah daripada kita.

Di antara ketiga-tiga kumpulan ini, kumpulan pertamalah yang paling susah hendak menguruskannya, sebab lazimnya memang yang bernama ketua ini biasanya menganggap dirinya sahaja yang tahu dan arif dalam banyak hal. Itulah lebihnya orang yang bergelar ketua. Dalam dunia Pengurusan, ungkapan yang biasa digunakan: "The boss is always right."

Bagaimana hendak mengurus orang serupa ini? Pertama, jangan sekali-kali kita hendak tunjukkan pandai kita (walaupun memang kita sedar bahawa kepandaian kita melebihi kepandaian ketua). Sebaliknya jika kita ada idea yang menarik, bincang secara peribadi dengannya dan cadangkan supaya idea ini dia yang ketengahkan. Biar dia yang membawa idea itu ke dalam perbincangan ramai, seolah-olah itu adalah idea tulennya. Dia pasti gembira. Dan kita jangan kecewa, sebab pastinya idea baik kita itu sudah diterima. Siapa dapat nama, tunggu masanya apabila nanti kita pula yang menjadi ketua. Masa kita akan tiba juga.

Pengalamanku menyediakan banyak teks ucapan orang-orang di atasku mengajar aku tentang prinsip ini. Bagiku, sekurang-kurangnya idea aku menjadi kenyataan. Jadi, kalau kita ada idea bagus, jadikan idea itu sebagai idea ketua kita. Percayalah, kita tidak rugi apa-apa. Siapakah yang berucap di hadapan khalayak? Ketua! Idea siapakah yang bernas yang terucap oleh ketua? "Ketua"! Siapakah yang dapat nama? Ketua! Tak apa. Allah lebih tahu, walaupun banyak orang lain tidak tahu. Bukankah niat kerja kita itu adalah ibadat, dan ibadah itu "lillahi-taala"?

Kedua, jangan mengata ketua kita di belakangnya dalam apa cara pun, misalnya menulis dalam blog atau bercerita dengan orang-orang lain - di dalam atau di luar pejabat. Maklumat itu mungkin sampai juga ke pengetahuannya tanpa pengetahuan kita. Bukankah orang tua-tua sudah mengatakan, cakap siang pandang-padang, cakap malam dengar-dengar. Orang juga biasa bercakap, "Eh, baik-baik cakap. Dinding dan tembok pun ada mulut, mata dan telinga." Kalau hal ini berlaku, pastinya kita sudah tidak upaya untuk mengurus ketua kita. prasangkanya terhadap kita akan bertambah buruk lagi. Siapa yang rugi? Kita juga.

Mungkin juga orang yang mendapat maklumat tentang perangai suka mengumpat itu kawan baik kita sendiri, tetapi kita sendiri tidak tahu bahawa dia adalah musuh kita dalam selimut. Di depan kita semuanya manis, di belakang kita yang dikatakan manis itu menjadi pahit di depan ketua. Siapa tahu? Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Ketiga, jangan sekali-kali tunjukkan kesilapan, kesalahan, kebodohan atau sebarang kelemahan orang-orang di atas kita itu secara terbuka, terutama dalam mesyuarat. Ini pantang besar. Jika kita tidak bersetuju atau kita mempunyai pandangan yang berbeza, kita cari masa lain yang lebih sesuai. Carilah masa ketika ketua dalam keadaan "hawa sejuk dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa".

Aku ingin memetik sebuah sajakku yang aku karang pada akhir tahun 1990-an, dengan jodol Diam, seperti berikut:

Diam itu lebih baik
daripada berkata-kata
kuncikan saja lidah
membisu seribu bicara
apa yang perlu dibuat
hanyak angguk atau geleng
biarpun angguk bukan
dan geleng ya.

Atau kalau mahu juga berkata-kata
jadi saja burung kakak tua
tanpa fikir tanpa pening kepala
tiru apa kata tuanmu
berulang-ulang kali
tanpa jemu-jemu.

Baiklah diam saja
atau jadi buraung kakak tua
menjanjikan rantau selamat
ada tempat
ada pangkat
ada pingat
ada darjat
ada nikmat.

Nikmat seorang yang diam
menggenggam status dan kedudukan
mengajar burung kakak tua bercakap
menghukum sesiapa yang berkata-kata
dengan wibawa dan kuasa.

Soalnya: Kalau orang marah kita, perlukah kita marah dia kembali? Kalau orang buat jahat pada kita, adakah kita balas balik dengan kejahatan? Kalau begitu halnya, kita sudah serupa dengannya - kita tidak jadi orang yang tenang, dan kita tidak jadi orang baik. Kita jadi orang yang marah dan orang yangjahat seperti dia. Mahukah kita? Dalam kaedah kaunseling, jahat dibalas dengan baik, maka pada akhirnya kebaikan juga akan menjelang pada kita. Percayalah!
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]