Saturday, October 27, 2007

 

HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

Hujung minggu ini aku tidak pulang ke Seremban seperti kelazimanku. Aku terpaksa berada di Institut Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru kerana mengelolakan kursus melibatkan seramai 80 orang murid Tahun Enam, Sekolah Agama Bersepadu Johor Bahru.

Kebiasaan aku berulang alik antara Johor Bahru dan Seremban pada setiap hujung minggu sejak lebih tujuh tahun yang lalu kerana tuntutan tugas dan keluarga. Kebanyakan perjalananku itu aku menggunakan kenderaan awam, iaitu bas ekspres dengan tujuan untuk menjimatkan wang dan tenaga. Aku hanya memandu sendiri pada ketika-ketika memerlukan. Bas pilihanku ialah Plusliner, sebab setakat ini kenderaan ini dapat memberikan perkhidmatan yang agak selesa, biarpun sekali sekala ada juga masalah seperti lewat bergerak, rosak di tengah jalan dan sebagainya.

Sebenarnya pengalaman menggunakan perkhidmatan bas ini bukan perkara baru bagiku. Selama sebelas tahun aku berulang alik pergi dan balik bekerja antara Seremban dan Kuala Lumpur pada akhir tahun 1980-an hingga akhir tahun 1990-an. Kebanyakannya ialah dengan menggunakan bas khas ke Jalan Duta yang dikendalikan oleh Syarikat SKS.

Pada permulaan beroperasi pada akhir tahun 1980-an, syarikat bas ini memperkenalkan satu pembaharuan yang amat positif. Sepanjang perjalanan, selain pemandu, seorang konduktor bersama-sama di dalam bas untuk urusan tiket dan penumpang. Kedua-dua mereka memakai unform khas yang disediakan oleh syarikat.Sebelum bergerak, melalui pembesar suara dalam bas, pemandu akan membuat pengumuman seperti dalam kapal terbanag; katanya lebih kurang begini: "Tuan-tuan dan puan-puan. Sebentar lagi kita akan bertolak ke Kuala Lumpur. Perjalanan akan memakan masa satu jam, dan kita dijangka sampai Kuala Lumpur pada jam .... Kami harap tuan-tuan dan puan-puan selesa sepanjang perjalanan." Selepas itu, koduktor akan mengedarkan sebotol air mineral bagi setiap penumpang. Sepanjang perjalanan penumpang dihidangkan dengan tayangan video. Dan biasanya perjalanan sentiasa menepati masa. Alangkah cantiknya ....

Namun begitu, amalan yang baik itu tidak berkekalan. Sedikit demi sedikit bertambah kurang unsur-unsur yang baik itu. Pada akhir tahun 1990-an (dengan nama Tansnasional), satu pun pembaharuan yang dibuat pada tahun 1980-an lenyap semuanya. Perjalanan tidak menepati masa, konduktor tidak ada dalam bas, apatah lagi tayangan video dan air mineral. Banyak kali juga bas lambat memulakan perjalanan menjadikan perjalanannya seolah-olah sudah tidak berjadual. Ada ketika-ketika pula pemandu bersifat kurang sopan.

Ini hanya satau contoh yang nyata. Kalau anda rajin dan peka menyemak segala hal yang berlaku saban hari di sekeliling anda, kita pasti berhadapan dengan soal kecenderungan membina kualiti yang tidak dapat bertahan lama. Malah hal ini kelihatan seolah-olah sudah menjadi semacam budaya bagi negara kita pula. Kata orang tua-tuan, apa yang dibuat itu hanya hangat-hangat tahi ayam. Hangatnya sekejap sahaja, tetapi yang lama ialah sejuknya dan keringnya. Namun baunya masih tetap tidak menyenangkan. Mengapa begitu?

Adakah ini disebabkan apa yang sering diungkapkan oleh Pak Laha bahawa Malaysia mempunyai infrastruktur kelas pertama, tetapi mentaliti kelass ketiga.Sebaik-baiknya kita patut membuat sesuatu yang baik itu, bukan sahaja terus kekal, tetapi seharusnya terus dan terus meningkat dari satu tahap ke satu tahap kepada keadaan yang lebih baik. Justeru kita perlu membuat penamabahbaikan yang berterusan, supaya kualiti yang kita bina itu tidak lapuk dik hujan, tidak lekang dik panas, dan terus memancarkan cahaya yang bersinar-sinar bagai batu permata yang hari-hari digilap.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]