Thursday, October 18, 2007

 

KEDATANGAN SYAWAL


Masa bergerak begitu pantas. Bagiku, suasana berpuasa Ramadan belum terasa sangat, tiba-tiba sahaja hari raya sudah menjelang. Berbanding semasa aku pada zaman kanak-kanak, aku merasakan berpuasa bulan pada ketika itu begitu membebankan sehingga masa yang dilalui itu terasa amat panjang.

Pada malam 1 Syawal, selepas solat Isyak, kami kariah Masjid Bukit Chedang menjalankan program bertakbir berkumpulan dari rumah ke rumah. Aku bersatu dengan Kumpulan Seri Meranti (berdasarkan nama jalan dalam taman perumah kami) seramai kira-kira 25 orang, tua dan muda. Namun golongan warga emas dan sudah bersara dari perkhidmatan lebih ramai. Antaranya termasuk beberapa orang yang bergelar Datuk seperti YB Datuk Hasan Malek, Datuk Jamal Zainal Kasim, Datuk Aliasak Ambia, Datuk Ismail Kasim, Datuk Mustaffa dan Datuk Arsaf. Yang lain sekadar layak dipanggil “atuk”, gelaran yang diberikan oleh cucu-cucunya, termasuk aku sendiri.

Pada tahun ini dua keluarga baru masuk dalam kumpulan bertakbir kami, iatu Tuan Haji Suraini dan Datuk Jamal Zainal. (Haji Suraini baru menduduki rumahnya selepas bersara yang selama ini rumah itu disewakan, sementara Datuk Jamal Zainal baru siap mengubah suai rumahnya selepas kembali bertugas di Seremban setelah bersara wajib sebagai Pegawai Daerah Port Dickson dan kini bertugas secara kontrak sebagai Setiausaha, Dewan Undang dan Diraja Negeri Sembilan.) Namun begitu, Dr. Othman dan Dr. Zul tidak dapat bersama-sama pada kali ini. Dr. Othman bercuti panjang bersama-sama isterinya di Australia, sementara Dr. Zul dikatakan kena bertugas pada malam itu.

Program malam itu berjalan dalam suasana ceria dan bertenaga. Antara kami sering bergurau senda dan usik mengusik antara satu sama lain. Setiap rumah mempunyai hidangan khas tersendiri, dan memang sudah diketahui sesama kami, kerana seolah-olah hidangan itu menjadi identiti tuan rumah. Misalnya, Datu Hasan gengan cendolnya, Tajul dengan sop tulangnya, Abu Bakar dengan tapainya, Datuk Ismail dengan aiskrimnya, dan aku sendiri dengan popia goreng otak-otak.

Program malam itu berakhir kira-kira jam 12.30 malam setelah menyempurnakan bertakbir untuk 17 buah rumah. Datuk Mustaffa mencadangkan supaya pada tahun hadapan program ini diperkemaskan, untuk dua tujuan, iaitu mempercepatkan perjalanaan program dan memberi peluang kaum wanita terlibat secara berkumpulan. Beliau mencadangkan supaya setiap rumah tidak perlu menyediakan hidangan, sebaliknya sajian itu dihimpunkan di sebuah rumah yang dikenal pasti dan jamuan hanya dihidangkan pada akhir perjalanan bertakbir itu.


Cadangan itu nampaknya baik, tetapi pastinya perlu diperhalusi kerana belum mendapat respon daripada yang lain, terutama kaum wanita. Mereka mungkin ada alasan tersendiri. Namun Datuk Aliasak nampaknya kurang setuju dengan cadangan itu, dengan menghujah bahawa masa perjalanan boleh disingkatkan sekiranya kumpulan dikecilkan menjadi dua kumpulan. Lagipun, kita tidak perlu tergesa-gesa menghabiskan program, kerana yang penting ialah hubungan silatulrahim, katanya. Tunggulah bagaimana keputusannya pada tahun hadapan. Bagiku pula, anak-anak terutama peringkat awal remaja dan remaja perlu dilibatkan dalam program ini, bagi menjamin kesinambungan pada masa-masa akan datang.

Apapun, bertakbir berkumpulan ini memang mempunyai kesan yang positif.


Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]