Friday, October 19, 2007

 

KEMBALI KE FITRAH

Hari Sabtu, 1 Syawal 1428 bersamaan 13 Oktober 2007. Aku bangun tidur awal subuh untuk solat Subuh diikuti dengan bertakbir, dan kemudian mandi sunat Aidil-Fitri. Setelah bersiap dengan pakaian Melayu lengkap - baju kurung Teluk Belanga warna biru dipakai secara berdagang luar - aku bersarapan dan ke masjid untuk berjemaah solat sunat Aidil-Fitri bersama-sama Adam, menantuku. Masjid Bukit Chedang sudah penuh seawal jam 8.00 pagi, walaupun solat bermula jam 8.30 pagi. Pada kali ini kehadiran warga asing nampaknya agak berkurangan berbanding pada tahun lepas.

Sewaktu kembali dari masjid, isteriku masih sibuk berkemas di dapur. Anak-anak perempuanku sibuk mengemaskan diri. Hampir tengah hari baharu kami berpeluang bersama-sama untuk bermaaf maafan antara satu sama lain. Semuanya hadir kecuali Khairolin dan suaminya Hazly kerana mereka berhari raya dengan ibu mertua dan nindanya di Kuala Pilah. Seperti termaklum, Idham masih di Moscow dengan pelajarannya.

Pada tengah hari itu kami sekeluarga bertandang ke rumah ibu saudara isteriku di Kampung Jiboi, Seremban. Dialah kini menjadi antara "orang tua" yang masih hadir dalam hidup kami sekeluarga. Di kalangan kami sekeluarga, dia dikenali sebagai Wan Jiboi. Di situ aku dapati bertemu ramai anak cucunya berkumpul, termasuk Nordin, abang iparku bersama-sama Mimi isterinya dan dua orang anak mereka - Sherlina dan Razman. Anak Angah Nordin yang kedua - Nadirah dan suami - tidak kelihatan, mungkin mereka berhari raya di tempat lain atau "menunggu" rumah.

Dino terpaksa menunggu rumah di Bukit Chedang bersama-sama isteri dan anaknya, Noor Iman Amani, kerana teman-temannya akan datang berhari raya. Aku pula segera kembali semula ke Bukit Chedang kerana abang iparku Nordin ingin singgah berhari raya. Menjelang petang, ramailah pula anak cucu Wan Jiboi "berhijrah" pula ke rumahku. Riuh rendah dibuatnya. Kami solat maghrib berjemaah, dan kemudian diikuti oleh majlis tahlil ringkas. Majlis tahlil itu tidak dirancang pun, tetapi memandangkan ramai sanak saudara sudah berkumpul, eloklah rasanya dimanfaatkan dengan ibadah.

Rancangan untuk ke tanah perkuburan Mohd. Said menziarahi kubur Allahyarhamah Kakak Raminah dan berhari raya di rumah Tok Andak, adik Wan Jiboi, terpaksa ditangguhkan. Abang iparku Ayob yang tinggal di Taman Rashibah dikatakan tidak ada di rumah, mungkin mereka sekeluarga berhari raya di Pontian, dan kerana itu kami juga tidaklah berhari raya di rumahnya.

Sebelum tidur, aku mengenangkan nikmat Aidil-Fitri - hari-hari umat Islam dituntut kembali kepada hakikat asal dirinya. Itulah yang dimaksudkan dengan fitr, iaitu sifat semula jadi. Apakah sifat semula jadi manusia? Secara fitrahnya, sudah pasti manusia dijadikan Allah sebagai makhluk yang sempurna, hebat dan berkualiti serta mampu menyerlahkan kehebatannya secara berterusan. Fitrah manusia juga sentiasa bersih dan suci, di samping sentiasa mengutamakan sifat memberi dari sekadar menerima.

Kini, di manakah kehebatanmu? Di manakah kualiti hidupmu? Di manakah kebersihan dan kesucianmu? Setahun sekali kita diminta membuka lembaran hidup mengikut fitrah yang Allah tentukan untuk membuat rujukan, tafsiran dan penilaian.

Sudahkah kau menjalankan penilaian itu?
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]