Thursday, October 25, 2007

 

MEMBINA DAN MENINGKATKAN KUALITI

Kejayaan Malaysia menghantar Dr. Sheikh Muzaphar Shukor sebagai angkasawan pertama Malaysia ke angkasa lepas dan berada lebih seminggu di Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk menjalankan beberapa penyelidikan tertentu yang ditetapkan perlu dibanggakan, walaupun bagi Amerika Syarikat Dr. Sheikh Muzaphar Shukor bukan astronaut atau angkasawan seperti yang Malaysia warwarkan atau cosmonout seperti yang diiktiraf oleh Russia, tetapi sekadar "space flight participant". Tok Guru Dato' Abdul Aziz Mat mengangguk setuju dengan gelaran itu, dengan mengatakan bahawa apa yang dinamakan angkasawan Malaysia itu sekadar penumpang kapal angkasa. Gelaran ini sekadar satu interpretasi. Jangan risau!

Namun begitu, bagi aku, apa yang telah dicapai itu kini sudah tidak begitu penting lagi. Yang lebih penting sekarang ialah apa yang akan berlaku selepas ini. Adakah peningkatan yang berterusan? Adakah perancangan lanjutan yang direncanakan? Dari kata-kata pemimpin-pemimpin negara termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kejayaan ini akan diikuti dengan usaha-usaha yang positif melalui pelan pembangunan angkasa negara bagi memantapkan dan menyebarluaskan pengetahuan rakyat terhadap angkasa lepas, terutama melalui pendidikan. Baguslah jika begitu.

Ini amat penting. Selain untuk memastikan bahawa kualiti terus dipertahankan, rakyat juga perlu difahamkan apakah peantingnya projek yang menelan berjuta ringgit ini. Mereka seering menyoal, apakah faedahnya menghantar seorang ke angkasa dengan belanja yang amat besar, sedangkan masih ramai bilangan rakyat yang memerlukan pembelaan. Justeru mereka perlu mendapat gambaran yang jelas tentang perkara ini, terutama apabila piliharaya umum semakin berada di ambang pintu kehidupan kita. Nanti, ada sahaja orang atau pihak yang mengambil kesempatan.

Kita menghantar orang kita ke merata dunia - mendaki puncak Everest, merengani Selat Inggeris, melayari kapal layar secara solo keliling dunia, menawan Khutub Utara dan Khutub Selatan, dan sebagainya. Semuanya bertujuan untuk memahatkan nama Malaysia dalam peta dunia melalui kejayaan wakil-wakilnya itu. Hal ini menjadikan negara kita dikenali. Apabila sudah dikenali, maka mudahlah warga dunia memahami kemahuan Malaysia. Maka berlakulah permuafakatan bestari yang dijangka boleh menguntungkan negara.

Selain itu, apa yang mereka lakukan adalah bertujuan untuk membuktikan tepatnya slogan "Malaysia Boleh!" bagi menjadi sebagai alat dorongan, motivasi dan galakan kepada seluruh rakyat untuk bekerja kuat dan bersungguh dengan secara terancang dan berterusan bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan menyeluruh.

Marilah kita sama-sama membina dan meningkatkan kualiti atau kecemerlangan. Untuk itu, kita perlu menjalankan perancangan, persiapan dan pelaksanaan secara teratur, teliti dan berterusan.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]