Monday, October 22, 2007

 

MENGIMBAU SALAM AIDIL FITRI

Kedatangan Syawal diiringi dengan ucapan dan salam Aidil Fitri. Kalau dahulu ucapan diterima melalui lafaz lisan dan kiriman kad, namun pada kali ini wahana penyampaian telah bertambah selaras dengan perkembangan era globalisasi dan teknologi maklumat. Panggilan telefon sudah dianggap lumrah. SMS pula menerjah masuk, bukan sekadar dengan teks, tetapi juga paparan grafik, audio dan vedio. Begitu juga mesej yang dikirim melalui internet, dalam pelbagai jenis kad elektronik yang menarik dan canggih.

Namun, aku masih menganggap kiriman kad ucap secara pos mempunyai nilai yang tersendiri. Lebih-lebih lagi apabila kad yang dikirim itu direka khas mengikut citarasa pengirimnya. Kad tersebut menjadi begitu peribadi, dan setengahnya berupaya menyentuh perasaan dan hati nuraini.

Kebanyakan kad mengunkapkan ucap dengan kata-kata "Selamat Hari Raya Aidil Fitri, dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Maaf Zahri Batin". Selain itu, tidak kurang juga kad yang mengandungi sajak yang dikarang khas tentang hari raya, terutama di kalangan penyajak. Aku juga pernah menerima kad dalam bentuk buku, dengan kandaungannya memetik sebuah kisah tentang perjuangan Nabi Muhamad. Aku juga pernah mendapat kad yang mengandungi lukisan pemandangan suasana hari raya, dan diminta aku mencari beberapa gambar tersembunyi. Saban tahun, aku menerima kad daripada Dato' Dr. Hassan Ahmad, yang mengungkapkan petikan daripada karya agung seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Pada tahun itu, kad beliau membuat ringkasan yang dipetik dari cerita-cerita jenaka Melayu, termasuk kisah Pak Belalang dan lebai Malang. Satu ketika dahulu, aku menerima kad daripada Profesor Emitirus Tan Sri Datuk Ismail Hussein yang mengandungi surat menceritakan perkembangan kehidupan dirinya dan keluaraganya.

Pada tahun ini, di antara banyak kad yang aku terima, ada sekeping kad yang dihantar oleh seorang pemimpin politik negara. Selain ucapan selamat hari raya, terdapat surat daripada pemimpin tersebut. Kandungan surat itu kuanggap menarik, dan aku ingin paparkan dalam blog ini untuk renungan bersama. Namun begitu, bagi mengelakkan aku ditomah sebagai menimbulkan kontravasi, menyebarkan propaganda dan mengundang prasangka, aku sengaja tinggalkan bahagian-bahagian tertentu yang ada unsur-unsur sedemikian.

Pemimpin tersebut menulis, antara lain, sebagai berikut:

"Puasa bulan Ramadan seharusnya mampu mengembalikan kita kepada fitrah. Di hujung Tarawih, Tadarus, Tazkirah, Sedekah dan Qiamullail di setiap siang dan malam, Ramadan adalah tapak semaian subur persiapan untuk membawa kita ke detik kelahiran semula. Ia ada menanti kita di pagi raya. Saat "kelahiran semula" itu pula perlu berkudrat menghantar kita untuk menyertai arus perjuangan pos Syawal demi membebas dan menyelamatkan umat, agama, bangsa dan negara dari sebarang penjajahan dan kekeliruan faham kebangsaan.

Gunakanlah semangat Aidil Fitri untuk terus merayakan lain-lain hari yang bakal didatangkan kepada kita dengan neraca taqwa. Walau apa cabaran dan dugaan sekalipun, kita wajib membuat pilihan untuk terus bersama-sama jemaah bagi memimpin umat ke jalan petunjuk dan hidayat pada peringkat peribadi, masyarakat mahupun negara."

Itulah kata-kata pemimpin tersebut. Apapun keadaannya, Syawal adalah hari kemenangan. Dan kemenangan itu wajar kita rayakan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, membentuk perpaduan dan kesefahaman bersama, mengangkat keupayaan diri meningkatkan kualiti, demi keharmonian dan kebahagiaan yang merata.

Kita manusia dianugerahi Allah dengan fikiran, dan fikiran mewajarkan kita membuat pertimbangan yang wajar.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]