Saturday, October 06, 2007

 

MENJELANG SYAWAL

Hari ini hari Sabatu, seminggu lagi hari raya aidil fitri tiba. Walaupun hari ini merupakan hari cuti hujung minggu, namun ada tugas rasmi yang menunggu. Sejak jam 9.00 pagi sudah berada di Bilik Gerakan, Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru kerana jabatanku dikehendaki memberi taklimat kepada YAB Menteri Besar berhubung dengan perancangan bajet jabatan bagi tahun 2008. Pengarah yang akan memberikan taklimat memerlukan kehadiran pegawai-pegawai kanannya untuk memberi sokongan dan membantunya sekiranya ada persoalan-persoalan khusus yang dia tidak mempunyai jawapan yang tepat.

Jadi, pagi ini penuhlah Bilik Gerakan itu dengan peawai-pegawai kanan kerajaan negeri Johor, termasuk exco berkaitan, Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan, Pengarah Unit Ekonomi dan Perancangan Negeri, dan beberapa orang pengarah dan pegawai jabatan-jabatan terlibat. Aku berfikir sendirian betapa sibuknya tugas seorang Menteri Besar tanpa ada rehat dan cuti, sehinggakan sampai hari ini aku masih belum upaya mendapatkan satu hari pun untuk menjemput YAB itu hadir dalam satu majlis rasmi jabatanku walaupun aku telah berakhtiar sejak bulan Jun dahulu. Setiap hari penuh dengan aktiviti.

Tetapi sebenarnya bukan Menteri Besar sahaja yang terpaksa bekerja berterusan tanpa ada hari-hari untuk rehat. Banyak orang lain yang begitu. Petani, pesawah, penternak, nelayan dan sebagainya bekerja berterusan sepanjang masa. Aku sendiri pun, banyak ketikanya aku tidak pun menggunakan cuti hujung mingguku kerana hari-hari tersebut diisi dengan tugas-tugas rasmi seperti mengendalikan kursus, menghadiri mesyuarat dan sebagainya.

Kerana itu, banyak cuti tahunanku tidak terusik. Jadi, aku ambil kesempatan hari raya pada tahun ini bercuti lebih awal, iaitu seminggu sebelum hari raya. Sekurang-kurangnya aku dapat menghadirkan diri bersama-sama isteriku di rumah ketika dia sibuk bersiap untuk hari raya. Seperti biasa, memang banyak yang seorang isteri lakukan menjelang hari raya, seperti mengemas rumah, memasak kuih muih, menyediakan pakaian baru untuk anak-anak dan sebagainya. Aku mungkin tidak dapat banyak menolong kerja-kerjanya itu, kerana dalam usia emas sepertiku ini, kata orang, kena berjaga-jaga dari segi pergerakan fizikal. Kawan-kawan berkata, "Hati saja yang kuat, badan dah lemah." Isteriku sendiri dalam bergurau selalu mengeluarkan ungkapan ini, "Badan dah tua, janda bersepah." Namun begitu, kehadiranku di depan mata isteri, aku harap sekurang-kurangnya dapat memberi motivasi dan semangat kepada isteriku.

Untuk itu juga aku ingin berehat daripada berhadapan dengan blog ini, sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu lebih. Sehari dua selepas hari raya, aku pasti akan kembali mengunjunginya, dan aku berharap mempunyai kudrat untuk mengemaskinikan kandungannaya.

Kepada semua, SELAMAT HARI RAYA, maaf zahir batin. Semoga sentiasa ceria, Allah memberkati dan memelihara, dipanjangkan usia sihat sejahtera, terurai sengketa terkembang kasih mesra.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]