Tuesday, October 02, 2007

 

TERBANGLAH

Kelmarin sewaktu aku melayari beberapa blog di ruangan maya ini, perhatianku digemit oleh sebuah blog yang menarik. Sesungguhnya empunya blog ini biarpun seorang pelajar tahun lima jurusan perubatan di Russia, potensinya dalam bidang penulisan dan persuratan sungguh besar. Membaca tulisan-tulisannya, termasuk sajak yang terkandung dalam blognya itu, aku yakin minat dan bakat yang ada pada diri bakal doktor ini jika digilap akan bersinar terang turut menerangi dunia persuratan Melayu pada masa hadapan. Tahniah Sarah Mohd. Shukor!

Sebenarnya dalam ruang maya ini aku menemui banyak anak-anak muda yang bijak dan kreatif serta mempunyai jati diri yang tinggi. Biarpun latar belakang pendidikan dan kerjaya mereka pelbagai - kejuruteraan, seni bina, sains tulen, teknologi maklumat, seni halus, perubatan dan sebagainya - namun mereka memang sungguh berbakat dalam bidang penulisan dan persuratan. Rajin-rajinlah menyelusuri blog mereka ... Mereka perlu mendapat pengiktirafan, penghargaan dan bantuan. Mereka adalah aset penting negara dalam agenda pembangunan holistik yang diimpikan oleh Pak Lah. Percayalah!

Kembali kepada Sarah, aku agak tersentak membaca catatannya yang terbaharu. Kalau pada catatan terdahulu, dia menunjukkan nada keceriaan dan kegembiraan, terutama kerana kesudian angakasawan negara Sheikh Muzafar dan Faiz bertandang berbukan puasa di asramanya di Russia, catatan kali ini bernada kecewa dan putus asa, seolah-olah mahu pergi membawa diri. Aku tidak pasti sama ada itu suara hatinya, atau sekadar catatan biasa untuk memenuhi ruang blognya. (Mungkin sahaja sajak itu bermaksud sebagai gurauan sinis untuk menguji hati pelayar-pelayar blog, dengan maksud bahawa si pencatat ingin meninggalkan blognya daripada membuat catatan-catatan yang mungkin tidak disukai oleh sesetangah orang.)Apapun sajaknya berjodol Aku Pergi Dulu memang menggambarkan rasa kecewa, jauh hati, dan keinginan untuk jauh membawa diri meninggalkan apa yang kini dinikmatinya. Senang kata, dia mengikut kata orang Jawa sebagai mahu "minggat" bukan mahu "tirah". Apakah yang ingin ditinggalkan pastinya dia sendiri yang mengetahui, atau mungkin ada sesiapa yang mengenalinya dari dekat dapat menyelami apa yang tersirat dalam yang tersurat itu.

Sejenak aku cuba mengingati sesuatu. Ya, rasa-rasanya pernah mengenalinya ketika dia mendeklimasikan sajaknya dalam majlis Penghayatan Perjuangan Dato' Onn Jaafar sempena Program Sunathon 2007 di Endau, Mersing pada bulan Ogos yang lalu. Sajaknya terasa indah dan menarik. Dan kalau tak silap, anakku Idham pernah memperkenalkannya padaku selepas itu, iaitu sewaktu bertembung singkat di KLIA ketika mereka ingin pulang ke Moscow. "Inilah Sarah yang baca sajak dulu, ayah," kata Idham, dijawab Sarah dengan senyuman dan aku menyambut dengan anggukan. Setakat itulah kenanganku terhadap Sarah, gadis kecil manis dari Temerloh, Pahang.

Apapun, aku tinggalkan pesan dalam blognya itu melalui sebuah sajak berunsur memberi semangat serta kekuatan dan keyakinan diri. Sajak ini merupakan doaku kepadanya. Berikut ialah sajak tersebut. Sajak itu tidak bertajuk, namun dalam blog ini kuberi jodol Terbanglah bagi sajak tersebut. Namun sajak itu dalam blog ini ada sedikit pindaan dari segi pemilihan baris dan kata, yang aku rasa lebih tepat dan bertenaga.

TERBANGLAH

Pergilah dan terbanglah kau
tinggalkan rantau rusuh dan risau
buangkan selimut kalut dan kacau
kau bebas mengikis kenangan lampau
hingga mereka terpukau
keinginannya tak terjangkau.

Jangan banyak bicara lagi
kembangkan sayapmu itu
terbang jauh dan tinggi
lalu hinggap di dahan hakiki
kembali ke pohon jati diri.

Kau adalah kau yang kuat
bagai helang yang hebat
melayang di awan yang tinggi
turun ke bumi dengan harga diri.


Sarah, salam perjuangan dan selamat maju jaya.
Comments:
Salam wbt.

Tuan Haji Ismail Bin Haji Adnan (isbiha),

Sejujurnya, selama ini saya menjadi pembaca setia blog Tuah Haji. Hampir setiap pagi saya akan buka walaupun kadang-kadang tiada entry baru.

Tiba-tiba pagi semalam sebaik lepas Subuh, saya terkejut membaca entry terbaru ini sebab nama saya terpahat di situ!

Terima kasih tak terhingga sebab sudi menjenguk dan membaca blog saya. Terkejut saya apabila membaca komen dan mendapat ada sajak balasan daripada Tuan Haji. Sejujurnya, sajak Tuan Haji sangat menyentuh hati saya yg waktu itu sedang emosi dengan masalah yang pelbagai dan kesibukan yang teramat. Dalam rangkap terakhir sajak itu, saya 'jumpa' diri saya. Iya. Sayalah helang itu!

"Kau adalah kau yang kuat
bagai helang yang hebat
melayang di awan yang tinggi
turun ke bumi dengan harga diri"

Saya 'jumpa' kekuatan yang menyokong tindakan dan keputusan saya pada waktu itu. Terima kasih tak terhingga kerana sedikit sebanyak sajak Tuan Haji menggambarkan Tuan Haji memahami dan menyokong apa saja yang saya lakukan pada waktu itu.

Terima kasih!
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]