Sunday, October 28, 2007

 

TIADA CUTI HARI AHAD

Hari Ahad, 28 Oktober. Hari ini aku sendirian di Jalan Mariamah. Aku bangun seawal jam 5.00 pagi, dan selepas solat Subuh, aku mengemaskinikan slaid Powerpoint tentanag Jati Diri Melayu yang akan aku gunakan dalam pembentanganku kepada peserta-peserta Kursus Tunas Pemimpin di Institut Perguruan Temenggung Ibrahim (IPTI).

Aku masukkan satu slaid tambahan tentang peristiwa dua pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Ulu Gadung, Rembau, Negeri Sembilan mati digeles kereta api kerana mereka tidur di landasan kereta api. Gambar muka hadapan Harian Metro hari Sabtu yang menunjukkan perkebumian jenazah dua orang pelajar malang itu aku gunakan sebagai bahan aku, untuk menunjukkan betapa anak-anak Melayu banyak terlibat dengan kerja yang sia-sia.

Gambar ini aku gunakan sebagai bandingan kepada beberapa gambar tentang kejayaan anak Melayu kini, seperti Dr. Sheikh Muzaphar Shukor, Profesor Madya Dato’ Dr. Sharifah Mazlina Abdul Kadir dan Dato’ Azhar Mansor. Dapatkah anak-anak Melayu kini menjadi pemimpin yang mengharumkan nama bangsa dan negara pada masa akan datang? Itulah persoalannya.

Aku lantas teringat sebuah sajak Zahari Hasib, berjodol Pemimpin Masa Hadapan yang pernah aku baca tidak berapa dahulu. Aku akhirnya menemui semula sajak itu yang telah tersiar di majalah Dewan Sastera, keluaran April 2006. Aku petik sepenuhnya sajak tersebut sebagai berikut:

Seorang pelajar tampan
berambut gondrong
memikul gitar
dengan baju belang
serta jean Texwood
maka dialah.

Sehingga kerana terlalu hendak cepat
sampai tak ingat pun meminta maaf
meski dipijaknya hujung kasutku.

Di seberang jalan
dia mendakap seorang gadis
belasan tahun masih bersekolah
kulit fail dan bukunya tertampal
dengan wajah kumpulan rock luar negara.

Seorang tua yang nampak kejadian itu
tita-tiba datang seraya berkata:
“Saudara jangan marah.
Mereka itulah muda-mudi Melayu yang maju.
Pemimpin kita masa depan!”

Aku kemudian bersarapan di Restoran Abda di Jalan Abdul Samad dengan sepinggan nasi dagang dan segelas kopi O sebelum bergegas ke IPTI. Dan selama dua jam dari jam 8.30 hingga 10.30 pagi aku berhadapan dengan 87 orang anak-anak Tahun Enam, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor Bahru, bercerita tentang jati diri Melayu. Oleh kerana mereka anak-anak sekolah rendah, maka persembahanku banyak aku lakukan dalam bentuk aktiviti dan kerja berpasukan. Sekadar motivasi, aku sempat memberi duit raya RM 10.00 kepada seorang peserta yang berani dan berjaya menjawab dengan tepat soalan yang aku kemukakan. Dia tergamam seperti tidak percaya apabila kuhulurkan wang kertas RM 10.00 itu kepadanya.

Aku terus berada di IPTI sehingga jam 2.00 petang baru pulang ke Jalan Mariamah selepas selesai Upacara Penutupan Rasmi kursus tersebut oleh Encik Abdul Razak Hasan, Pengarah Yayasan Warisan Johor. Dia nampaknya seronok dengan perjalanan kursus yang pertama diadakan untuk anak-anak sekolah rendah sejak IKLAS ditubuhkan pada tahun 2000. Katanya, kursus serupa ini boleh dilanjutkan pada tahun-tahun hadapan.

Aku kononnya mahu tidur sebentar tetapi tanpa disedari aku telah terlelap berterusan sehingga hampir tamat waktu solat Zohor baru aku tersedar. Sebaik selesai solata Zohor, aku lantas ke pejabat menyiapkan kerja penulisan buku Integriti Keluarga yang dicadang untuk dilancarkan pada 17 November oleh YAB Menteri Besar Johor sewaktu Majlis Pelancaran Institut Integriti Negeri Johor di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Ini merupakan satu cabaran besar, kerana aku terpaksa berlumba dengan waktu dan tugas-tugas lain yang tidak kurang pentingnya bagi menyiapkan buku ini tepat pada masanya. Tentang ini, anakku Idham pernah merujuk mengenai orang yang menepati masa di dalam blognya tidak berapa lama dulu. Katanya, "If you are on time, you will miss the train."


Alhamdulillah, setakat jam 6.00 petang sewaktu aku meninggalkan tugas penulisan itu, sebahagian besar apa yang aku harapkan telah tersurat. Yang pasti selepas ini ialah proses menyemak dan menyunting bahan di samping menyediakan ilustrasi dalam buku tersebut. Aku sudah berbicang dengan seorang teman pelukis, Yahya Hasan, untuk membantu aku dari segi menyediakan ilustrasi itu. Soalnya: Adakah peancetak yang sanggup menyiapkan kerja percetakan seperti yang aku kehendaki? Moga-moga Allah memberi ketajaman fikiran, kekuatan dan kelapangan serta kemudahan bagi menyempurnakan kerja kritikal ini. Insya-Allah!

Dan besok pagi seawal jam 8.30 harus sudah bersedia untuk terlibat dalam satu mesyuarat yang dipanggil oleh YB Tuan Haji Ahmad Zahri Jamil , exco Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Johor. Topik perbincangan ialah perancangan Majlis Pelancaran Buku Dato' Onn Jaafar yang diharap disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia di Kuala Lumpur pada 8 November 2007.

Hai, entahalah! Bukan mengeluh. Sekadar menarik nafas panjang bersyukur kerana khidmatku masih diperlukan pada ketika teman-teman lain yang sebaya kebanyakan lebih selesa duduk di rumah bermain dengan cucu. Sesungguhnya berkhidmat ini rupa-rupanya satu nikmat. Syukur pada hari yang sibuk ini walaupun tiada cuti pada hari Ahad.

Dan bagi terus menjalin hubungan kekelurgaan, aku menelefon isteri di Seremban untuk bersembang-sembang dengannya kira-kira pada jam 7.00 petang. Pastinya belum terlambat untuk berkomunikasi dengannaya pada hari ini. Jauh di mata tapi dekat di hati. Too far yet too near.


Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]