Friday, November 16, 2007

 

KETIADAAN PENGARAH

Dua hari yang lepas, Pengarah Yayasan Warisan Johor bertolak ke Manidah untuk ibadat haji. Dia bercuti panjang hingga awal tahun hadapan. Justeru tugas pengurusan jabatan diserahkan kepada Tuan Haji Md. Ismail Zamzam, dengan aku membantunya.

Hari-hari berikutnya merupakan hari-hari penting yang memerlukan tumpuan khusus. Hari ini ada mesyuarat untuk mengemaskinikan persediaan Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 22 November. Dan hari ini juga Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri oleh DYMM Sultan Johor.

Esok merupakan Majlis Pelancaran Pelan Integriti Nasional Peringkat Negeri Johor yang akan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Walaupun beberapa kali mesyuarat penyelarasan, namun selagi peristiwa itu belum berlangsung, hati masih tetap cemas. Pada hari itu, buku aku berjodol Integriti Keluarga akan dilancarkan.

Hari Ahad ada dua peristiwa keluarga yang penting. Seorang sepupuku, Ishak, di Endau mohon aku menjadi wakilnya untuk menerima rombongan peminangan anaknya. Pada hari yang sama, sepupuku yang seorang lagi, Ahmad, di Segamat mengadakan majlis perkahwinan anaknya. Jadi, mengikut rancangannya, aku akan bergegas ke Endau sebaik-baik sahaja selesai majlis di Dewan Jubli Intan, dan bermalam di Hotel Seri Malaysia, Tanjung Gemok. Tempahan sudah dibuat. Isteriku bersama Izza akan datang ke Johor Bahru pada hari Sabtu untuk turut menemani aku ke Endau dan seterusnya ke Segamat, dan kemudian pulang ke Seremban.

Dan sepanjang minggu depan hingga 4 Disember, Dewan Undangan Negeri terus bersidang membincangkan Bajet 2008. Pastinya seperti biasa aku akan terlibat secara langsung dari segi penyediaan ucapan penggulung oleh YB Haji Ahmad Zahri Jamil.

Aku berdoa semoga segala-galanya berjalan dengan baik, dilindungi Allah dengan peliaharaan-Nya dan sentiasa mendapat keberkatan-Nya.

Insya-Allah, aku akan bercuti seminggu selepas itu.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]