Wednesday, November 21, 2007

 

JANGAN LUPA TERTIB

Dalam Islam, setiap kerja hendaklah dimulakan dengan niat. Niat utama ialah membuat kerja itu untuk Allah, dan kerana itu kerja yang dibuat mestilah yang Allah restui. Namun begitu, niat sahaja tidak cukup. Niat kalau tidak dituruti dengan tindakan tidak ada menghasilkan apa-apa. Niat mesti berurutan dengan tindakan menjalankan kerja yang kita hendak buat itu. Jadi, dalam Islam, niat dan tindakan merupakan dua perkara yang perlu dilakukan secara pakej sebagai satu keseluruhan yang bersepadu.

Tindakan hendaklah dijalankan secara tertib. Itu sebabnya sah sembahyang misalnya, mestilah dimulakan dengan niat dan dilaksanakan dengan tertib. Ertinya, sembahyang itu dijalankan ikut prosedur atau peraturan yang ditetapkan. Yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Kalau tertib tidak diikuti, sembahyang dianggap tidak sah. Jadi, tertib amat penting selain niat.

Apabila YAB Khir Toyo, Menteri Besar Selangor menganugerahi Yang Dipertua sebuah Majlis Daerah di Selangor dengan sebatang penyapu sebagai simbolik Majlis Daerah yang paling lembab mengutip cukai di daerahnya, banyak orang yang protes. Kritikan terhadapnya juga bertalu-talu datang. Kenapa? Dalam masyarakat Melayu, penyapu dikiaskan sebagai sesuatu yang tidak baik.

Niat YAB Menteri Besar Selangor itu memang baik, tetapi dia bertindak tidak mengikut tertib. Ertinya, dia mengongkah arus. Jadi, jangan fikir kita boleh berbuat apa sahaja asalkan niat kita baik. Niat yang baik belum cukup untuk menghalalkan kita berbuat apa sahaja tanpa tertib. Sepertilah seorang perempuan yang ingin mencari wang untuk membiayai pengajian anaknya adalah baik, tetapi menjadikan dirinya pelacur bukanlah caranya.

Berdasarkan panduan yang ditunjukkan Islam, kita boleh gunakan dalam bidang pengurusan. Dan dalam pengurusan, sudah pasti tidak ada istilah "membujur lalu melintang patah". Buat apa sahaja asalkan matlamat tercapai. Dalam pengurusan, tidak ada niat yang menghalalkan cara. Dalam pengurusan, niat dan cara adalah ramuan yang seimbang, diadun dalam wadah kesepaduan, dihidangkan dengan berhemah, barulah datang kelazatan menikmatinya. Itulah sebabnya PODC diperkenalkan dalam proses pengurusan - planning (perancangan) , organizing (pengelolaan), directing (pengarahan) dan controlling (pengawalan).

Ikutilah panduan yang Allah gariskan. Jadi, jangan lupa pasang niat. Tetapi juga juga lupa menyempurnakan niat dengan tertib!
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]