Sunday, November 11, 2007

 

PELANDUK DUA SERUPA

Dua minggu yang lepas, sewaktu aku sedang bersarapan di Hutan Bandar, Johor Bahru aku terpandang seseorang yang kusangka Haji Yusof Karto sedang berjalan dengan seorang perempuan sebaya dengannya dan seorang perempuan remaja menuju ke arahku. Pastinya dia diirngi oleh isteri dan anak perempuannya, fikirku. Aku segera menyeru namanya, "Cikgu Yusof! Apa khabar?" Dia memandang ke arahku. Tanpa berkata apa-apa, kami bersalaman dan dia duduk tidak jauh dari meja di mana aku duduk. Memang lama aku tidak bersua bekas guru bahasa Melayu aku sewaktu di Tingkatan I dan Tingkatan II di Sekolah Tinggi Muar itu. Kalau tak silap, kali terakhir aku bertemu dengannya ialah sekitar tahun 1982 sewaktu kami bersama-sama bertugas di Jabatan Pelajaran Johor.

Tetapi setelah aku amati-amati, aku pasti bahawa yang kutegur sebagai Cikgu Yusof itu bukan seperti yang sebenarnya kusangka. Dia kelihatan lebih tinggi daripada Cikgu Yusof yang kukenali itu. Senyumannya juga tidak semanis senyuman Cikgu Yusof. Gaya dia bercakap juga bukan seperti Cikgu Yusof. Dalam hatiku berkata-kata, sahlah bahawa orang ini bukan Cikgu Yusof. Namun aku sendiri tidak berani untuk berterus terang dengan orang itu.

Pada pagi Sabtu, 2 November yang lalu, aku menemani isteriku ke Pasaraya Tecso Seremban yang tidak jauh dari rumahku mencari keperluan dapur untuk dimasak bagi menyambut kepulangan Idham dari Moscow pada petang itu kerana dia diperlukan hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 5 - 9 November di PWTC sebagai wakil Kelab UMNO Russia. Kerana anak, dalam keadaan terperanjat menerima panggilan telefon pada jam 3.35 pagi mengkhabarkan berita gembira kepulangan anaknya itu, isteriku yang demam-demam sebelum itu kelihatan segar, bertenaga dan larat ke sana ke mari di dalam Tesco mencari barang-barang yang diperlukan untuk memasak.

Pagi itu pengunjung Tesco belum berapa ramai. Aku tiba-tiba ternampak seseorang yang kusangka Haji Yusof, mantan Pengarah Kemas Selangor, kenalanku. Aku hampiri dan menegurnya serta berbual-bual mesra. Tetapi dalam berbual-bual itu aku menyedari bahawa di hadapanku itu bukan Haji Yusof yang kukenali, tetapi orang lain yang wajahnya serupa dengan Haji Yusof. Pastinya aku sudah salah orang.

Dan sewaktu aku menolak troli barang keluar dari Tesco, aku terpandang sepasang suami isteri. Si lelaki itu "sebiji" seperti Dr. Jaidon Romli, pakar perubatan keluarga di Klinik Kesihatan Endau yang kukenli semasa Program Sunathon 2007 dahulu.

Aku seru namanya, dan lelaki itu menoleh ke arahku. Dia datang mendekati aku dan kami bersalaman.

"Kenal saya ke?" tanyanya ragu-ragu.

"Dr. Jaidon, kan?" tanya aku pula, juga ragu-ragu.

"Bukan. Saya Haji Zainal," jawabnya.

"Oh, maaf! Saya salah orang rupanya," aku menyambut katanya.

Sekali aku tersalah orang. Aku tidak pasti apakah sebenarnya yang berlaku. Adakah kejadian-kejadian ini berlaku disebabkan oleh penglihatanku yang bermasalah, atau sebab-sebab lain, aku tidak pasti. Namun aku teringat kata-kata yang sering diucapkan orang bahawa dalam dunia ini ada seramai tujuh orang yang dijadikan Allah mempunyai paras muka yang serupa.

Aku juga teringat kisah seorang teman di Negeri Sembilan yang mengerjakan haji menemui dan tinggal serumah tumpangan selama seminggu di Mekah bersama-sama seorang jemaah lelaki dari Johor Bahru yang saling tak tumpah seperti arwah ayahnya yang telah meninggal dunia di tanah suci itu sepuluh tahun sebelum pertemuan penuh mistri itu. Kebetulan teman itu tinggal sebilik denganku semasa mengerjakan ibadah haji pada tahun 1979 yang lalu. Pertama kali dia melihat orang tua itu, dia menangis semahu-mahunya menyebabkan orang lain hairan. Kecuali kepadaku, dia tidak menceritakan sebab dia menangis kepada orang lain.

Demikianlah kekayaan dan kebesaran Allah. Dalam dunia ini, bukan sahaja ada adik beradik yang kembar serupa, tetapi juga ada pelanduk dua serupa.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]