Thursday, November 15, 2007

 

SEMINGGU DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

Minggu lepas, sepanjang tempoh 5 hingga 10 November 2007 aku berada di Kuala Lumpur, menyebukkan diri dalam Perhimpunan Agung Tahunan UMNO di PWTC. Walaupun pemergianku ke sana adalah ditaja, namun penglibatanku bukan sebagai perwakilan atau pemerhati. Aku sendiri bukan ahli UMNO, dan sepanjang hayatku tidak pernah menjadi ahli UMNO.

Sebenarnya aku dan beberapa orang yang dipilih oleh Perhubungan UMNO Johor sebagai tenaga di belakang tabir, yang ditugaskan untuk menyedia dan menyelaras ucapan-ucapan perbahasan yang disampaikan oleh perwakilan Johor dalam Perhimpunan tersebut, baik di peringkat Pemuda, Wanita, Puteri mahupun di peringkat pencadang atau pembahas negeri. Aku terlibat dengan tugas ini sejak tujuh tahun yang lalu.

Kerana itu, ketika PWTC sesak dengan manusia, sebahagiannya sekadar menyibuk untuk membeli belah atau cuma mundar mandir untuk menambah kesibukan, sewaktu sebahagian yang lain di dewan persidangan dengan perbahasan yang kadang-kadang lucu dan kadang-kadang hangat, aku dan beberapa orang lain memerap di bilik memerah otak menjana fikiran menyusun kata secara tersurat untuk kemudiannya dibentangkan secara lisan oleh perwakilan Johor dalam Perhimpunan itu. Tugas itu biasanya berlarutan dari awal malam sehingga awal pagi.

Kumpulan kami diberi tugas atas kehendak YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor selaku Ketua Perhubungan UMNO Johor. Mengikut pandangannya, perwakilan Johor seharusnya mampu brucap dengan fikiran dan bukan dengan perasaan. Juseru mereka perlu dibantu supaya ucapan mereka bukan sahaja disampaikan dengan menarik dan meyakinkan, tetapi juga padat dengan isi dan tepat penggunaan bahasa. Teks ucapan mesti disediakan.

Maka bersidanglah tokoh-tokoh yang dipanggil khas dalam pelbagai bidang - akademik, ekonomi, bahasa, agama dan sebagainya - untuk memberi input tentang apa yang harus diperkatakan, kemudiannya pandangan mereka itu diolah sebaik-baiknya sebagai teks ucapan. Bagi seorang pemimpin tertinggi peringkat negeri seperti YAB Dato' Haji Abdul Ghani, martabat dan maruah negeri Johor perlu dipelihara. Itulah mesej yang tersirat.

Kesibukan itu menyekat aku untuk turut bersama-sama di PWTC. Malah sepanjang tempoh Perhimpunan itu, aku langsung tidak berpeluang berjumpa dengan anakku Idham, yang terbang khas dari Moscow menghadiri Perhimpunan tersebut sebagai wakil Kelab UMNO Russia. Selepas tamat Perhimpunan pada jam 7.00 petang, 9 November baru kami bersua untuk sama-sama pulang ke Seremban dan Idham bersiap-siap untuk kembali ke Moscow pada esok paginya.

Kerana itulah juga, ucapan perwakilan Johor biasanya bukan sahaja menarik hati perwakilan, tetapi juga sering dipetik oleh media cetak dan media penyiaran untuk dijadikan bahan berita penerbitan mereka. Ketika itu, jika aku berpeluang membaca atau mendengar berita tersebut, aku akan senyum gembira dan puas.

Sesungguhnya kepuasan tidak sekadar bersandar pada wang ringgit. Kepuasan bagiku ialah apabila aku diberi kepercayaan dan dapat pula menyempurnakan kepercayaan itu sebaik-baiknya. Dan badan pun menjadi segara dan bertenaga, hati pun ceria sambil berlapang dada.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]