Thursday, November 22, 2007

 

SEORANG ISHAK

Aku tidak tahu apa yang tidak kena pada nama Ishak pada ketika itu sehingga dia sanggup menukar nama itu kepada nama Haji Adnan sekembalinya dari menunaikan fardu haji pada tahun 1931. Selepas itu, Haji Adnan – bukan lagi Ishak – merupakan identiti dirinya sehingga dia kembali ke rahmatullah pada tahun 1967. Maka anaknya yang dilahirkan pada tahun 1945 itu pun dinamakan Ismail, dan berbinkan Haji Adnan, bukan Ishak. Itulah kisah asal usul nama bapaku, Haji Adnan.

Bagiku, Ishak itu nama yang baik dan bukan kepalang nama sebab nama itu merupakan nama salah seorang Rasul. Aku sendiri tidak tahu mengapa berjadi pertukaran nama tersebut kerana pada ketika itu aku belum dilahirkan. Tetapi Adnan juga nama seorang Rasul. Barangkali ada seseorang bernama Ishak yang ayahku kenali mempunyai perangai yang menurut pengamatannya kurang elok. Justeru bapaku tidak selesa mempunyai nama yang serupa. Barangkali! Entahlah! Aku sekadar mengagak, sebab aku sendiri tidak berpeluang bertanyakan hal yang sebenar.

Mengikut ceritanya, pada ketika itu memang telah menjadi kelaziman di kalangan orang-orang Islam di Semenanjung Malaysia, terutama mereka yang berketurunan Jawa, berbuat demikian apabila mereka menunaikan haji ke Mekah. Katanya, memang ada istiadat menukar nama di Mekah. Bagi mereka yang mempunyai nama yang dilihat sebagai kononnya tidak sesuai dengan dirinya, maka nama itu akan ditukar dengan nama lain. Aku teringat ketua kampungku bernama Budin bertukar nama sebagai Haji Shamsudin sekembalinya dari Mekah. Aku masih tidak pasti tentang itu sebab sewaktu aku sendiri menunaikan haji beberapa tahun yang lalu, tidak pula kutemui wujudnya amalan sedemikian.

Tetapi yang aku ingin huraikan dalam blog ini kali ini bukan kisah Haji Adnan @ Ishak. Aku ingin menceritakan kisah seorang yang bernama Ishak juga. Dia merupakan seorang yang istimewa bagiku, bukan sahaja namanya itu serupa dengan nama ayahku, tetapi juga kerana peranannya dalam hidupku. Tulisanku kali ini aku dedikasikan untuknya, Haji Ishak bin Haji Noor.

Ishak yang seorang ini sebaya denganku. Dia hanya beberapa bulan lebih muda dariku. Tahun kelahiran sama, iaitu tahun 1945. Bulannya sahaja berlainan. Dia sepupuku dan dahulu tinggal sekampung denganku. Kini Ishak tinggal bersama isteri dan sebahagian anak-anaknya di Kampung Air Tawar, Endau, Mersing. Ibunya bernama Khamsinah adalah adik kepada ibuku. Sebagai anak keturunan Jawa, dia dikenali di kampung dan di kalangan saudara mara serta ahli keluarga sebagai Sekak. Abila sudah tua, dia dipanggil Wak Sekak.

Semasa kecil Ishak bukan teman sepermainanku, barangkali kerana kedudukan rumahnya dengan rumahku agak jauh sedikit. Cuma yang aku tidak pasti, dia bersekolah setahun lebih lewat dariku. Aku tidak tahu kenapa. Namun apabila kami menjelang dewasa, hubungan kami semakin akrab dan rapat, walaupun kami berjauhan.

Dia berpeluang ke Sekolah Tinggi Muar sepertiku juga. Dia juga sepertiku berpeluang ke Sekolah Datuk Abdul Razak, Tanjung Malim ketika berada di Tingkatan Empat. Dia seoerang anak yang cerdik. Dia juga bagiku seorang anak yang berani, walaupun tubuhnya kecil. Dia cepat mesra walau dengan siapa sahaja, biarpun orang yang baharu ditemuinya. Setakat ini dia kelihatan mengekori aku dari belakang. Sewaktu aku berada di Tingkatan Enam, Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur, dia berada di Sekolah Datuk Abdul Razak, Tanjung Malim. Kami sering berkirim surat.

Aku teringat satu hal yang lucu tentnag perhubungan kami. Pada suatu ketika, dengan tujuan untuk kononnya ingin menunjukkan kehebatanku dalam penulisan, aku pilih kata-kata yang indah dan menarik yang aku tiru daripada majalah Mestika atau Dewan Masyarakat yang aku langgani setiap bulan dalam suratku kepadanya. Aku fikir tentu dia kagum dengan bahasa indah yang aku gunakan. Fikirku, tak kan pelajar Tingkatan Empat baca majalah-majalah tersebut. Rupanya sangkaanku meleset, apabila dalam surat balasannya itu dia pula memetik kata-kata dalam kedua-dua majalah tersebut yang tidak aku kutip. Tahulah aku apa maksudnya. Aku malu dibuatnya. Tetapi aku buat senyap sahaja.

Selepas Tingkatan Enam, aku gagal masuk ke universiti. Sebaliknya aku meneruskan pengajianku ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur sebagai guru pelatih. Ishak pula tidak menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam setelah tamat Tingkatan Lima. Dia menganggur beberapa ketika. Sebabnya dia berminat untuk menjadi tentera, namun permohonannya beberapa kali ditolak disebabkan dia tidak cukup ketinggian bagi membolehkan sebagai seorang tentera. Akhirnya dia kecewa lalu dia memohon menjadi guru, dan diterima mengikuti latihan perguruan di Pusat Latihan Harian, Johor Bahru. Kalau tak silap aku, pada waktu itulah dia berkenalan dengan Raudah, anak Endau yang datang bertandang ke rumah kakaknya di Johor Bahru. Kebetulan di rumah itulah Ishak menyewa dan menumpang kasih. Kalau tidak silap ingatanku, aku pernah sekali datang ke rumah sewaannya itu pada tahun 1968, sewaktu aku bertugas di Sekolah Menengah Semerah.

Pada tahun 1969 aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan menyewa rumah di Seksyen Lapan, Petaling Jaya. Ishak pula pada tahun 1970 ditempatkan bertugas di Sekolah Kebangsaan Sungai Bayor, Selama, Perak. Aku tak pasti bagaimana di aboleh terpelanting ke sana, tetapi kalau melihat peribadinya, aku mengesyaki memang itu pilihannya. Kami sering berutus surat, satu-satu cara perhubungan yang paling mudah pada ketika itu. Antara yang pernah diceritakan padaku melalui surat-suratnya itu ialah kisah seorang kawan serumah dengannya yang “hidup dalam dua alam”. Menarik juga kisahnya.

Pada suatu ketika dia menyatakan keinginan untuk pulang ke Muar bersama-sama semasa cuti persekolahan. Aku senang hati mendapat perkhabaran itu, sekurang-kurangnya ada pembongceng skuterku dalam perjalanan balik nanti. Lalu memintanya datang ke rumah sewaku di Petaling Jaya. Aku cadangkan dia menyewa teksi dari Puduraya. Aku terpaksa menangguhkan sehari lagi sebelum pulang ke Muar menunggu kehadirannya, dan bagi mengelakkan kebosanan bersendirian menanti kedatangan Ishak, aku meangajak seseorang menamani aku.

Pada hari itu aku tunggu dia dari pagi. Dia masih tidak sampai hingga tengah hari. Perhubungan pada ketika itu bukan semudah kini – ada telefon bimbit, ada bas ekspres, ada internet. Dahulu semuanya tak ada. Dalam bosan menunggu, aku pun tidur. Aku menjangkakan dia pasti tidak datang. Tetapi apabila aku bangkit tidur kira-kira jam 5.00 petang, aku dapati Ishak juga sedang nyenyak tidur di pintu hapadan rumah sewaku. Jadi esoknya kami pun berskuter pulang ke Muar.

Selepas itu hubungan kami terputus buat seketika apabila aku ditugaskan di Negeri Sembilan, dia Ishak pula bertukar ke Johor. AKu sibuk dengan kerjaya dan rumahtangga. Dia juga pun begitu keadaannya.

Hubungan kami kembali bertaut apabila aku ditugaskan di Jabatan Pelajaran Johor dan ketika itu Ishak bertugas di Sekolah Kebangsaan Sayong Pinang, sebuah sekolah orang asli. Pernah sekali aku melawata sekolahnya. Aku nampak dia sungguh seronok bertugas di situ. Orang asli kampung itu pun menyukai kehadirannya. Pernah sekali dia bawakan aku seekor ikan darat yang amat besar. Katanya hadiah daripada orang asli.

Kini kami sama-sama sudah bersara dari jawatan rasmi. Aku pula berpeluang bekerja secara kontrak dengan Kerajaan Johor. Ishaklah antara sepupu yang paling rapat denganku dari dahulu hingga kini.

Itulah soerang Ishak yang istimewa dalam hidupku.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]