Thursday, November 01, 2007

 

TEMAN NOMBOR SATU

Banyak blog yang aku temui kebelakangan ini mengungkapkan tentang soal hati dan soal perasaan. Aku tidak pasti apa yang tersirat dalam hati. Hal ini mengingatkan aku tentang hatiku sendiri. Bagaimanakah dia?

Sebenarnya apa yang disebut hati bagi manusia tidak sama dengan hati bagi binatang. Hati binatang hanya seketul daging, namun hati manusia ada unsur lain yang istimewa. Sebab itu, hati bagi manusia dipanggil kalbu, yang dalam Al-Quran dinyatakan sebagai sentiasa berbolak balik sifatnya. Sekejap kata ya, sekejap kata tidak. Sekejap kata mahu, sekejap kata tidak. Kerana itu, kita perlu terus menjaga kalbu ini supaya terus tenang, aman dan tenteram. Bagaimana caranya?

Dalam diri manusia sebenarnya ada lima unsur penting yang seharusnya dipelihara supaya seimbang, harmonis dan bersepadu, iaitu roh, kalbu, akal, nafsu dan jasad. Kelima-limanya perlu makanan yang sesuai dengannya untuk terus menjadi sihat. Sekiranya ada di antara unsur-unsur ini yang tidak sihat, kita kena cari ubat supaya kembali sihat.

Dan aku, pada tengah malam ini, ingin mengingatkan diriku sendiri supaya aku dapat terus menjaga kalbuku, di samping menjaga unsur-unsur lain dalam diriku supaya terus sihat. Moga-moga Allah memberi rahmat dan berkat, insya-Allah.

TEMAN NOMBOR SATU

Kita ada teman
tua muda
kecil besar
jauh dekat
sedikit banyak.

Kita ada teman
ada teman hari-hari kita jumpa
ada teman tidak pernah kita bersua.

Di antara kita
ada beratus teman
di seluruh kampung
di seluruh daerah
di seluruh negeri
di seluruh negara
di seluruh dunia
tapi hanya seorang berdua
menjadi teman istimewa.

Apa pun teman kita
hanya satu teman teristimewa
teman nombor satu
untuk kita semua.

Teman teristimewa ini
bernama Allah Ya Rabbi
bersama kita di mana sahaja
dan pada saban ketika
sebab dengan kebesaran-Nya
Dia maha agung
Dia maha pengampun
Dia maha penyayang
Dia maha pemurah
Dia maha mengashani
Dia maha segala-galanya
tiada tanding-Nya.

Dia tidak pernah melupai kita
walau kita lupa mengingati-Nya
sebab kita orangnya
dengan kalbu berbolak balik
apatah lagi syaitan di sekeliling kita
mencari ruang dan peluang
memasukkan waswas ke dalamnya.

Kita akan terus bahagia
jika kita tetap bersama-Nya
teman nombor satu.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]