Wednesday, August 29, 2007

 

BENDERA KITA (2)

Bendera kita, bendera negara Malaysia dinamakan Jalur Gemilang. Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan, kempen secara besar-besaran dilancarkan supaya Jalur Gemilang dikibarkan di rumah kediaman dan di bangunan sektor awam, sektor swasta dan sektor kesukarelaan, serta di kenderaan awam dan persendirian. Malah di mana-mana tempat yang sesuai, rakyat diminta untuk menghiasinya dengan Jalur Gemilang.

Aku menyambut seruan itu dengan mengibarkan dua Jalur Gemilang di rumahku di Seremban – satu di pintu pagar dan satu lagi di anjung rumah. Rumah-rumah jiranku juga kelihatan terkibar Jalur Gemilang. Aku juga memasang Jalur Gemilang di keretaku, namun bendera itu sekadar sempat berada di keretaku beberapa jam kerana melayang diterbangkan angin. Tahun lepas pun aku mengalami masalah yang sama. Selain diterbangkan angin, ada juga Jalur Gemilang yang aku pasang di kereta kelihatan sudah lusuh walaupun baharu beberapa jam dipasang.

Mengikut pengamatanku, sambutan orang ramai terhadap pengibaran Jalur Gemilang dianggap amat dingin. Keghairahan memasang di kereta tidak begitu jelas kelihatan. Aku tak pasti sama ada hal ini disebabkan oleh masalah yang serupa seperti yang aku hadapi, atau kerana tidak banyak pihak menawarkan Jalur Gemilang secara percuma, atau kerana sikap tidak peduli.

Jalur Gemilang di bangunan-bangunan juga agak kurang, terutama di rumah kediaman. Masih juga nterdapat di sana sini, Jalur Gemilang yang sudah lusuh dan kayak rabak terkibar dengan megahnya, seolah-olah melambangkan betapa hancurnya negara yang diwakilinya. Kenapa? Adakah tidak peka?

Aku juga melihat betapa Jalur Gemilang dikibarkan pelbagai cara. Dan yang bertambah pelik dalam hatiku, ada pula Jalur Gemilang yang diubahsuai susunannya, yang melibatkan keududukan bulan bintang dan penggunaan warna biru. Adakah bendera ini dapat kita namakan Jalur Gemilang?

Jalur Gemilang adalah lambang negara, lambang bangsa, lambang agama, dan lambang ketuanan negara. Jaur Gemilang tidak sewajarnya diubahsuai mengikut selera, sebab dengan berbuat demikian, kita sudah tidak menghormatinya. Saiznya pasti boleh dibuat mengikut keperluan, tetapi bukan susunan warna dan reka letak gubahannya.

Siapakah yang hendak dipersalahkan?
 

BENDERA KITA

Bendera Malaysia

Manusia merasakan perlunya satu simbol atau lambang sebagai tanda dirinya, keluarganya dan negaranya. Simbol-simbol tersebut mempunyai berbagai-bagai bentuk di mana salah satu daripadanya ialah bendera. Bendera telah digunakan semenjak kurun ke 16 dalam bentuk, saiz, warna dan reka bentuk yang berbeza-beza. Penggunaan bendera yang awal dapat dikesan ialah bendera yang digunakan pada tahun 1122 sebelum Masihi oleh Maharaja Chou di China. Maharaja Chou iaitu Pengasas Dinasti Chou menggunakan bendera atau banner berwarna putih.
Dalam bahasa Inggerisnya, perkataan Flag berasal dari perkataan Old Saxon atau German, Flaken atau Fleogan yang membawa maksud mengibarkan atau mengapungkan di atas angin. Bagaimanapun kini perkataan bendera dikhususkan kepada bentuk kain yang dikibarkan dari tiang yang tegak (Vartical Staff) .

Hari ini bendera adalah lambang kewujudan dan kedaulatan sesebuah wilayah, negeri atau negara. Bendera berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara. Pujangga pernah berkata “ Bendera adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Walau bagaimanapun kerananya manusia sanggup bermati-matian.

Sejarah Bendera Persekutuan Tanah Melayu

Merdeka, Merdeka, Merdeka ! – Tepat jam 12.00 malam 30 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan Negara yang tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa tersebut dengan penuh rasa bangga .

Sejarah penerimaan bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-raja di mana sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Satu Pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama ialah lambing keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam bulatan mengelilingi Keris bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah. Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-
“Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour. The uppermost stripes being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet.”


Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King Gerge VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Persuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selnagor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.

Sejarah Bendera Malaysia

Bendera Malaysia adalah dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia Hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah Negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh Negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September, 1963.
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Hak mengebarkan Bendera

Bendera adalah hak mutlak rakyat Malaysia. Sesiapa juga boleh mengibarkannya asalkan ianya dikibarkan mengikut amalan-amalan biasa mengibarkan bendera seperti tempat, masa, kedudukan saiz, tiang dan bendera serta susunan bendera sekiranya dikibarkan lebih daripada satu jenis bendera.

Pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan, badan-badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan Persekutuan diwajibkan mengibarkan bendera Persekutuan seperti diarahkan melalui Surat Pekeliling Am Bil. 3 tahun 1994.

Selain dari agensi-agensi Kerajaan dan rakyat biasa, pertubuhan dan persatuan sukarela, syarikat-syarikat gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai dan gerai-gerai juga digalakkan mengibarkan Bendera Persekutuan sama seperti agensi-agensi Kerajaan.

Jenis-Jenis Bendera

Bendera boleh dibahagi kepada 5 jenis:
i) Bendera Persekutuan - Malaysia;
ii) Bendera Negeri-negeri dalam Malaysia;
iii) Bendera Wilayah-wilayah Persekutuan;
iv) Bendera Institusi – kementerian, Jabatan, Badan Berkanun, Syarikat, Pertubuhan, Persatuan dan lain-lain; dan
v) Bendera Peribadi – Seri paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda dan D.Y.T.M. Raja Muda/Tengku Mahkota.

Terminologi Bendera

Mengikut amalan antarabangsa, bendera boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:
i) Lebar (Width)
ii) Panjang (length)
iii) Bahagian Biru Tua (Canton)
iv) bahagian Atas (Top/Head)
v) Bahagian Bawah (Bottom/Foot)
vi) Kepala (Hoist)
vii) Ekor (Fly)

Ukuran Bendera

Bendera mempunyai berbagai-bagai ukuran bergantung kepada tujuan kegunaannya dan di mana ianya hendak dikibarkan.

i) Bendera Biasa (Standard)
Lebar - 91.5 sm (3 kaki)
Panjang - 183 sm (6 kaki)

Bendera ukuran inilah yang dikibarkan di bangunan, pejabat dan boleh juga dikibarkan di rumah-rumah.

ii) Bendera Rumah
Lebar - 61 sm (2 kaki)
Panjang - 122 sm (4 kaki)

Bendera ukuran ini dikhususkan untuk kegunaan rumah-rumah kediaman di mana saiz dan ketinggian tiang-tiang bendera yang dapat digunakan adalah terhad.

iii) Bendera Sedang
Lebar - 122 sm (4 kaki)
Panjang - 244 sm (8 kaki)
Bendera berukuran di atas digunakan sebagai penutup keranda bagi mereka yang 'mendapat penghormatan' Negara.

iv) Bendera Besar

Lebar - 183 sm (6 kaki)
Panjang - 366 sm (12 kaki)
Bendera Besar dikibarkan di Kedutaan-kedutaan Negara kita di luar Negara. Dalam negeri ianya dikibarkan di tempat-tempat tertentu sahaja. Untuk mengibarkan Bendera Besar ketinggian tiang bendera hendaklah bersesuaian.

v) Bendera Meja

Lebar - 15.25 sm (0.5 kaki)
Panjang - 30.50 sm (1 kaki)
Bendera ukuran inilah yang digunakan untuk bendera yang diletakkan di atas meja. Ianya digunakan di persidangan, seminar, mesyuarat dan majlis-majlis menandatangani perjanjian.

vi) Bendera Kereta

Lebar - 15.25 sm (0.5 kaki)
Panjang - 30.50 sm (1 kaki)

Bendera Kereta dikibarkan di bahagian hadapan kereta sama ada di tengah-tengah, di hadapan kanan atau kiri kereta. Amalan menggunakan Bendera Kereta hanyalah dikhaskan kepada pembesar-pembesar tertentu sahaja iaitu:

i) Seri paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri
ii) Pelawat-pelawat Negara asing yang mendapat taraf Tetamu Negara/Kerajaan (Bendera Peribadi atau Bendera masing-masing)
iii) Duta-duta Negara Asing di Malaysia (Bendera Negara masing-masing)
iv) Pegawai-pegawai Angkatan Tentera dan Polis Di Raja Malaysia (Bendera Tentera atau Polis DI Raja)

Tiang Bendera

Tiang-tiang yang akan digunakan bagi mengibarkan bendera-bendera hendaklah bersesuaian dari segi ketinggian dan lilitan dengan ukuran bendera. Bendera Besar tidak sesuai dikibarkan pada tiang yang rendah dan kecil. Ketinggian dan lilitan tiang bagi beberapa ukuran bendera disenaraikan seperti berikut:
Bil
Ukuran Bendera
Ukuran
Tinggi
Garis Pusat
1.
Bendera Biasa
(Luar Bangunan)
(Dalam Bangunan)

610.00 sm (20')

7.6 sm (3")
2.
Bendera Biasa
(Luar Bangunan Kekal)
(Dalam Bangunan Tidak Kekal)

610.00 sm (20')
305.00 sm (10')

7.6 sm (3")
3.8 sm (1.5")
3.
Bendera Sedang
915.00 sm (30')
7.6 sm (3")
4.
Bendera Besar
1,220.00 sm (40')
15.2 sm (6")
5.
Bendera Meja
40.00 sm (15.75")
1 sm (3/8")
6.
Bendera Kereta
40.00 sm (15.75")
1 sm (3/8")

Cara-Cara Mengebarkan Bendera

Adab Dan Tertib
Bendera adalah lambing kebesaran dan kedaulatan Negara. Oleh yang demikian menarik dan menurunkannya hendaklah dalam keadaan dan cara yang sopan. Cara-cara yang sesuai ialah:

i) Sebelum menaikkan bendera ujilah tali temali bendera terlebih dahulu bagi memastikan ianya teguh dan tidak mudah putus hingga menyebabkan benderanya jatuh atau melampai tidak tentu arahnya.

ii) Sebelum bendera dinaikkan, pastikan ianya dalam keadaan yang baik.

iii) Mereka yang akan menarik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas.

iv) Menaik dan menurunkan bendera hendaklah dengan tertib iaitu perlahan-lahan. Apabila mengibarkan bendera separuh tiang, bendera hendaklah dinaikkan sepenuhnya dahulu dan kemudian menurunkannya semula ke separuh tiang. Apabila menurunkan bendera separuh tiang, langkah pertama ialah menaikkan semula bendera tersebut sepenuhnya dan kemudian menurunkannya terus.

v) Bendera janganlah diletakkan di tanah semasa hendak menaikkannya.

vi) Bendera janganlah dibiarkan meleret ke tanah sewaktu menurunkannya tetapi hendaklah ditatang atau diselempangkan ke habu apabila ia sampai ke bawah.

vii) Selepas digunakan bendera hendaklah dilipat dan disimpan dengan baik di tempat tertentu supaya tidak dilangkah dan sebagainya.

viii) Bendera tidak seharusnya digunakan untuk mengalas meja atau menutup sesuatu melainkan sebagai memberi kehormatan Negara seperti menutup keranda dalam Istiadat Permakaman / Pengebumian Negara.

ix) Bendera yang koyak dan telah bertukar warna adalah dianggap sebagai bendera yang uzur. Bendera yang uzur hendaklah tidak dikibarkan kerana pengibarannya menunjukkan tanda tidak hormat. Ianya hendaklah dimusnahkan dengan cara yang sopan. Caranya ialah dengan membakar bendera tersebut secara tertutup tanpa menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut.

Petikan daripada Buku Bendera, Lambang dan Lagu Kebesaran Negeri-Negeri Di Malaysia Oleh Lim Kim Wah (Bahagian Penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia)

Wednesday, August 22, 2007

 

OGOS YANG SIBUK

Bulan Ogos merupakan bulan yang sibuk bagiku. Selain rutin harian tugas rasmi, ada beberapa aktiviti penting yang mengheret penglibatanku secara langsung. Program demi program yang bertunda-tunda itu menyababkan tidak ada ruang untuk berehat, biarpun pada hari minggu untuk merancang dan membuaat persiapan. Namun kepuasan bekerja mengusir semua rasa penat dan bosan.



Awal bulan dimulai dengan Seminar Integriti Daerah Segamat pada 7 Ogos. Seramai 300 orang berhimpun di Dewan Majlis Daerah Segamat bagi menerima pendedahan tentang Pelan Integriti Nasional (PIN yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Segamat. Kursus Kepimpinan Pelajar Cemerlang Daerah Batu Pahat diadakan pada 10 - 12 Ogos di Yayasan Warisan Johor, dan pada masa yang sama dua program lain diadakan, iaitu Anugerah Sastera Darul Takzim di Hotel Selesa, Johor Bahru pad 11 Ogos, dan Konvensyen Bahasa dan Persuratan Melayu di hotel yang sama pada 12 Ogos.


Yang paling mencabar ialah Program Khidmat Masyarakat yang dinamakan Sunathon 2007 di Endau, Mersing pada 18 - 21 Ogos. Program ini dikelolakan bersama Peratuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) Russia Students' Chapter, dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing, melibatkan seramai 15 orang doktor pakar perubatan dan 150 orang pelajar perubatan Malaysia di dalam dan di luar negara (seperti Russia, Jordan, Mesir, United Kingdom, Ireland, Republik Czech, Australia, dan Indonesia) untuk menjalankan kerja amal mengkhatankan 100 orang kanak-kanak di kawasan Endau, Mersing. Program yang melibatkan penyertaan 65 keluarga setempat sebagai keluarga angkat kepada para peserta program ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Haji Abdul Latiff bin Ahmad, TimbalanMenteri Kesihatan Malaysia.


Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan berjaya hasil komitmen dan kerjasama padu daripada semua pihak. Dan menjelang kehadiran bulan Septembnr, aku kini sibuk pula menyediakan persiapan untuk Program Integriti Dalam Penulisan Puisi pada 7 - 9 September. Pada kali ini, 50 orang penulis negeri Johor di bawah naungan Persatuan Penulis Johor (PPJ) akan memantapkan kefahaman mereka terhadap jati diri dan integriti, termasuk aktiviti menyusuri Sungai Johor bagi menyaksikan kesan-kesan sejarah peninggalan Kerajaan Johor-Riau-Lingga.


Semoga semua sihat, selamat dan berjaya.





Bersama-sama Yahya Abu Bakar (Pak Ya) dalam Majlis Anugerah Sastera Darul Takzim



Berucap dalam Majlis Penyerahan Anak Angkat, Program Sunathon 2007, yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Mersing (diwakili oleh Penolong Pegawai Daerah, Encik Khalid Jusoh) pada petang 18 Ogos. Turut kelihatan dalam gambar ialah Khairil Idham Ismail, Penyelaras Program.
Para peserta Sunathon 2007 bergambar ramai melepaskan rasa kesyukuran, kegembiraan dan kepuasan setelah berjaya mengkhatankan 104 kanak-kanak di kawasan Endau.



Seorang kanak-kanak tenang dan bersahaja sewaktu disunatkan. Tahniah.

Tuesday, August 07, 2007

 

MENTALITI SUBSIDI

Sejak tahun 2001 IKLAS merancang mengadakan kursus kepimpinan Orang Asli, namun usaha tersebut hingga kini belum kesampaian. Pada mulanya IKLAS sendiri merancang untuk mengadakan kursus tersebut dengan kerjasama dan sokongan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Sokongan JHEOA amat padu dan memberangsangkan, namun pada akhirnya kursus yang dirancang itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali, dan akhirnya dibatalkan terus. Dua tahun kebelakangan in, IKLAS membuat strategi terbalik pula, iaitu dengan meletakkan JHEOA sebagai "pemain utama" dengan IKLAS sebagai penyokong. Namun pengalaman terdahulu masih menghantui menyebabkan kursus ini ditangguhkan. Kursus tahun lepas ditangguhkan ke tahun ini, dan kursus tahun ini sering tertangguh beberapa bulan. Kalau segala-galanya berjalan dengan lancar, pertengahan bulan Disembr nanti kursus itu dijalankan setelah lima kali bertangguh.

Apakah sebabnya? Tidak lain dan tidak bukan ialah soal kewangan. Bukanlah kerana kewangan untuk menganjurkan kursus itu menjadi masalah, tetapi lebih kepada bagaimana kewangan dibelanjakan. Itu masalahnya. Bayangkan, apakah akan terjadi kepada pemimpin dalam tugas-tugas kepimpinannya sekiranya setiap gerak dan langkah perlu dibayar, dan perkhidmatan sewajarnya perlu disediakan. Kenderaan perlu disediakan di depan tangga rumah, imbuhan hilang pendapatan harus diganti, makan minum dan tidur baring sepanjang kursus perlu ditanggung, makan minum anak isteri yang ditinggalkan perlu diambil perhatian, dan sebagainya.

Sebenarnya segala keperluan itu dapat disediakan kewangannya. Tetapi yang menjadi persoalan, sejauh manakah budaya subsidi ini perlu berlanjutan. Kita mahu menolong Orang Asli berubah selaras dengan perubahan dan kemajuan, terutama dari segi ilmu dan kemahiran. Tetapi sekiranya semuanya perlu dibayar, bilakah akan berakhir budaya begini?

Baru-baru ini Jabatan Agama Johor mengadakan kursus khas untuk Orang Asli. Mengikut berita yang tersiar, kursus tersebut dianggap berjaya. Namun aku masih tertanya-tanya. Sejauha manakah kejayaan yang dicapai, sedangkan Tok Batin yang hadir kursus dibayar RM 600.00 seorang, sementara Ahli Jawatanakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dibayar RM45.00 seorang? Aku tidak ada jawapan.

Ini cerita tentang Orang Asli? Bagaimana cerita tentnag orang Melayu sendiri?

Baru-baru ini, dengan bantuan orang dalam, isteriku berpeluang mengikuti kursus pembuatan coklat selama empat hari di Bandar Baru Bagi anjuran Kementerian Luar Bandar dan Wilayah. Mengikut isteriku, kursus yang dihadiri oleh seramai 20 orang itu memang amat baik dan bermanfaat. Namun siapakah yang mengikutinya? Penilaian oleh isteriku menunjukkan para peserta seolah-olah diambil secara tanagkap muat dari sesiapa sahaja di luar bandar, termasuk dari Kelantan, Pahang dan Trengganu, kemudian disediakan segala-galanya seperti pengangkutan, makan minum dan tidur. Malah peralatan berkaitan dengan pembuatan coklat pun diberikan secara percuma.

Selepas itu? Barangkali Kementerian Luar Bandara dan Wilayah akan melaporkan bahawa kursus telah selamat dijalankan dengan belanja sekian sekian banyak, supaya tahun depan dan tahun-tahun berikutnya dapat merancang lagi. Tetapi apakah halnya mereka yang telah mengikuti kursus? Apakah tindakan mereka selanjutnya? Mereka sendiri khabarnya tak tahu apa hendak dilakukan. Mereka mungkin menunggu kursus lain ...

Orang Melayu memang kurang atau tidak ada modal untuk berniaga. Kenapa tidak difikirkan cara mudah untuk memanfaatkan kemahiran dalam pembuatan coklat ini misalnya dalam dunia perniagaan. Beri mereka modal dan suruh mereka hasilkan coklat. Ambil coklat yang dihasilkan dan tolong pasarkan, sebab si pembuat sudah pasti tidak ada pengalaman dan kemahiran dari segi pemasaran. FAMA yang diwujudkan untuk memasarkan produk pertanian tidak berbuat demikian, sebaliknya FAMA sendiri memasarkan hasil keluaran sendiri. Jadi, apa sudah berlaku?

Aku kadang-kadang merasa hiba juga apabila mendapat perkhabaran bahawa anakku yang bekerja di sebuah kementerian tidak menang tangan membuat kertaskerja demi kertaskerja. Aku sering bertanya sendiran: Apakah matlamat dan hasil jangka panjang daripada perkara-perkara yang dikemukakan dalam kertaskerja itu?

Aku sekadar mengeluh, dan sebab itu jawapannya tidak pernah muncul. Namun sesuai dengan 50 tahun negara menyambut kemerdekaan, sejauh mana menteliti sabsidi ini terhakis daripada menjadi budaya orang Melayu?

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]